Pesta Tanglung Di Bestari Jaya Meriah
Sunday, 04 October 2009 | Ruangan: BeritaBESTARI JAYA, 4 Oktober – Lebih 1,000 orang hadir memeriahkan sambutan Pesta Tanglung di Tapak Pasar Lama,Pekan Bestari Jaya malam tadi.
Festival yang julung kali dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Parti Keadilan Rakyat Kawasan Ijok ini telah dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Berucap pada majlis ini, Tan Sri Khalid berharap ia dapat memupuk semangat perpaduan dan kebudayaan berbilang kaum dinegara ini khususnya di kawasan Bestari Jaya.
“Dan saya harap majlis ini akan diadakan tiap-tiap tahun supaya kita dapat mengumpulkan masyarakat Bestari Jaya supaya mereka tahu tentang tradisi kaum Tiong Hua”,katanya.
Menurutnya, selain mengeratkan hubungan kaum festival seperti ini dapat membantu memahami budaya pelbagai kaum dan menyemai sensitiviti antara kaum bagi mengelakkan sebarang ketegangan kaum.
“Ini menunjukkan masyarakat Malaysia menghormati setiap tradisi semua kaum di negeri kita.Jadi saya ingat tradisi ini diteruskan dan saya harap kita akan dapat bekerjasama supaya semua masyarakat didalam negara ini, negeri ini dapat merasakan kemewahan negeri Selangor”,katanya.
Khalid berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Tanglung dan Kuih Bulan di Bestari Jaya, malam tadi.
Pada majlis pelancaran, Tan Sri Khalid turut menyalakan dan menerbangkan sky lantern.
Tan Sri Khalid bersama Ahli Parlimen Selangor turut menyertai acara perarakan sambil mengangkat tanglung mengelilingi Pekan Bestari Jaya.
Acara malam tadi turut diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian naga, tarian kebudayaan dan persembahan bunga api.
Sementara itu, sambutan yang sama turut diadakan di kawasan lapang SRJK(C),Ijok.

