Pesara Tentera Bebas Pilih Wakil Rakyat Tanpa Tekanan: Tan Sri Khalid
Saturday, 03 October 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 3 Oktober – Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap undian dari kalangan pesara tentera di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, dapat membantu kemenangan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar.
Katanya, pesara tentera kini tidak lagi terikat dengan pasukan keselamatan itu dan bebas membuat keputusan tanpa sebarang tekanan.
“Kita rasa untuk Pakatan Rakyat (menang), peluang kita bergantung besar kepada bagaimana pengurusan undi pos yang pada kebiasaanya banyak memihak dan caranya memberikan peluang yang lebih baik kepada barisan, tetapi kita berharap kempen kali ini dapat menarik lebih ramai bekas-bekas askar dan juga askar untuk memilih wakil calon kita Encik Zulkifli,” ujarnya.
Tan Sri Khalid berkata demikian pada sidang media pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Ijok, petang tadi.
Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang pada 11 Oktober ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dengan calon Brisan Nasional, Tan Sri Isa Samad.
Bekas Ahli PKR, Shahruddin Abdul Hamid yang sebelum ini dikatakan akan bertanding sebagai calon bebas tidak mengemukakan borang sehingga tempoh pencalonan ditutup pada pukul 10 pagi tadi.
Isa Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, sebelum ini dilucutkan daripada jawatannya selepas didapati bersalah terbabit dengan politik wang pada perhimpunan agung Umno, 2004 lalu.
Kawasan DUN Bagan Pinang mempunyai 13,644 pemilih berdaftar termasuk 4,604 pengundi pos. Pada pilihan raya umum 2008, BN memperoleh 3,080 daripada 5,191 undi pos manakala calon PAS mendapat 1,189 undi.

