Lebih Banyak Sekolah Akan Dibina
Monday, 18 February 2008 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 18 Feb – Selangor akan membina lebih banyak sekolah di negeri ini bagi menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata pembinaan sekolah-sekolah baru itu perlu berikutan ada sesetengah sekolah di negeri itu terpaksa menampung jumlah pelajar yang ramai.
“Di Petaling Jaya umpamanya, ada kelas yang terpaksa menampung lebih 50 orang pelajar dalam satu masa,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Menjana Peningkatan Keilmuan Pengetua dan Guru Besar Dalam Konteks Selangor Maju di Dewan Jubli Perak disini pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Noh Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Ramli Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Pendidikan, Sukan dan Pembangunan Insan, Dato’ Ahmad Nawawi Dato’ M Zin dan Pengarah Pelajaran Selangor, Datin Hamidah Nordin.
Menurut beliau, keadaan kelas yang sempit ditambah bilangan yang ramai menyukarkan proses pembelajaran selain menyukarkan guru mengajar.
Dalam pada itu, Dr Mohamad Khir berkata kerajaan negeri mempunyai banyak tapak untuk tujuan berkenaan dan kebanyakan telah pun disiapkan.
“Di Petaling Jaya umpamanya, kita ada tiga tapak yang sesuai untuk dibina sekolah. Begitu juga di kawasan-kawasan lain seperti kawasan perumahan baru dimana kita ada tapak untuk mereka bina sekolah dengan segera,” katanya yang sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pelajaran untuk diambil tindakan.
Sementara itu dalam majlis berasingan petang tadi, Dr Mohamad Khir turut menyampaikan Geran Peruntukan Khas kepada 132 buah sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina seluruh Selangor.
Peruntukan bernilai RM3 juta itu adalah untuk tujuan pembangunan dan penambahbaikan infrastuktur serta program peningkatan kecemerlangan murid sekolah SJK Cina.- MURIZA ABDUL HAMID


