Tabung Dapur Untuk Darfur Terima RM32,253
Friday, 15 February 2008 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 15 Feb – Kesengsaraan umat Islam di Darfur turut mendapat simpati masyarakat Islam di negeri ini apabila sejumlah RM32,253.50 disumbangkan masjid-masjid seluruh Selangor untuk Tabung Dapur Untuk Darfur.
Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung pada majlis ringkas di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sini, hari ini.
Sumbangan yang dikutip daripada sekali solat jumaat di masjid-masjid seluruh Selangor itu disampaikan Dato’ Abdul Rahman Palil bagi pihak kerajaan negeri kepada Pengurus Besar Kumpulan (Kewangan) Media Prima, Iskandar Sham Abd Rasap.
Dato’ Abdul Rahman ketika ditemui pemberita, mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan rakyat Selangor untuk menyumbang dalam tabung itu.
“Kita yang hidup dalam keadaan senang-lenang, aman damai, keselamatan terjamin ini sudah tentu juga kita prihatin dengan kesengsaraan yang dihadapi sahabat-sahabat seagama kita di negara lain,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sama mewujudkan tabung berkenaan. – NOOR ALLIA KASSIM


