Piala Sultan Selangor di Singapura Pada 4 Oktober
Wednesday, 19 August 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 19 Ogos – Pasukan bola sepak Selangor dan Singapura bakal berentap merebut Piala Sultan Selangor 2009 di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 4 Oktober depan.
Acara berprestij yang masuk tahun kelapan ini diperkenalkan pada 2001 menampilkan aksi dua perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor bertemu Pilihan Singapura dan Veteran Selangor bertemu Veteran Singapura.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj petang tadi berkenan mencemar duli hadir pada majlis minum petang dan penyerahan tajaan Piala Sultan Selangor 2009 di Shah Alam.
Sultan Selangor berkenan menerima mock cek tajaan penaja utama, Inai Kiara Sdn Bhd dengan sumbangan berjumlah RM300,000, oleh pengerusinya, Dato’ Captain Gulzar Mohamad.
Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana yang juga Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Dato’ Abd Karim Munisar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ramli Mahmud.
Penaja bersama yang lain ialah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan jumlah sumbangan RM200,000, selain SP Setia Berhad, I Berhad, Splash dan Taliworks Corporation Berhad, masing-masing dengan sumbangan RM50,000 setiap satu.
Terdahulu, Dato’ Abdul Karim Munisar dalam ucapannya berkata, acara tahunan ini dapat mengeratkan hubungan antara rakyat Singapura dan Selangor.
“Piala ini memberi peluang kepada pemimpin veteren untuk beraksi untuk menemui peminat-peminat dan rakan taulan mereka”,katanya.

