MBSA Buka Pusat Khidmat Komuniti Kitar Semula (PKKKS)
Thursday, 06 August 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 6 Ogos – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membuka pusat pembuangan sampah pukal yang beroperasi setiap hari di Seksyen 17, Shah Alam.
Pusat pembuangan sisa lengai ini dikenali sebagai Pusat Khidmat Komuniti Kitar Semula (PKKKS) menerima sampah pukal seperti barangan perabot rosak, perkakas elektrik, katil, almari, bateri dan sisa elektronik.
Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, PKKKS dibuka sejak sebulan lalu bagi menangani masalah pembuangan sampah yang tidak teratur dan sampah haram di sekitar kawasan MBSA.
“Kita buka pusat ini setiap minggu daripada Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 6 petang dan pada hari Sabtu hingga Ahad daripada 9 pagi hingga 8 malam jadi saya berharap pusat kitar semula ini dapat kita guna sepenuhnya dan barang-barang pukal yang tidak digunakan dapat dihantar ke pusat ini supaya dapat dikitar semula atau dapat diuruskan dengan lebih baik supaya tidak di buang di merata-rata tempat”,katanya.
Sharin yang ditemui di pejabatnya berkata, projek usahasama di antara MBSA, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Danish International Development Assistance (Danida) ini turut menawarkan khidmat mengutip barangan yang boleh dikitar semula seperti plastik, botol kaca dan kertas secara percuma.
“Saya ingin menyerulah supaya warga kota Shah Alam dapat menggunakan pusat ini dengan sebaik mungkin supaya kita dapat mengatasi masalah sampah-sampah haram khususnya sampah lengai, pukal yang memang banyak dibuang ditepi-tepi jalan, tepi-tepi simpang SOT out….satu senario yang saya rasa tidak harus berlaku di tempat kita”,katanya.
Shahrin berkata, ia juga merupakan salah satu usaha MBSA untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan budaya kitar semula, dengan membuat pengasingan barang yang hendak dibuang.
Tambahnya, MBSA yakin pusat ini dapat mewujudkan satu kaedah pembuangan sampah yang lebih cekap, bersih, selamat dan teratur.
Orang ramai yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut boleh menghubungi Jabatan Perkhidmatan Bandar, MBSA di talian 03-55105133 sambungan, 548, 461 atau 462.

