Keluarga Tetap Mahu Suruhanjaya DiRaja Siasat Kes Teoh
Wednesday, 29 July 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 29 Julai – Keluarga bekas Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock tetap dengan pendirian mereka supaya Suruhanjaya Di Raja menyiasat punca kematian Beng Hock dan bukan hanya meneliti prosedur soal siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Adik perempuan Beng Hock, Teoh Lee Lan, 29 tahun, berkata kematian Teoh mesti disiasat oleh Suruhanjaya Di Raja untuk mendapat keputusan yang lebih adil dan telus.
“Kami amat menghargai Perdana Menteri menemui kami dan keluarga, namun kami masih dengan pendirian kami mahu Suruhanjaya Di Raja menyiasat punca kematian Teoh,” katanya.
Teoh Lee Lan berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Majistr et Shah Alam, selepas penangguhan prosiding inkues Teoh Beng Hock pagi tadi.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menemui ahli keluarga Teoh Beng Hock di Pejabat Perdana Menteri untuk menyampaikan ucapan takziah kepada mereka.
Teoh Beng Hock ditemui mati di Plaza Masalam dipercayai terjatuh dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 16 Julai lalu.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

