SK TTDI Jaya Menang Pertandingan Kitar Semula,Kumpul 22,955kg Bahan Kitar Semula
Wednesday, 15 July 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 15 Julai – Usaha tanpa mengenal jemu Sekolah Kebangsaan TTDI Jaya, berhasil apabila percubaan kali ketiga mereka berjaya memenangi Pertandingan Kitar Semula peringkat sekolah, hari ini.
Mereka menerima hadiah wang tunai berjumlah seribu 900 ringgit, selepas mengalahkan 31 sekolah lain dengan kutipan bahan kitar semula sebanyak 22 ribu 955 kilogram.
Hadiah disampaikan Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Mohd Noor di Dewan Bakuet MBSA, pagi tadi.
Mazalan berkata, usaha yang ditunjukkan Sekolah Kebangsaan TTDI Jaya ini harus dijadikan contoh kepada sekolah-sekolah lain di Shah Alam.
Pertandingan Kitar Semula ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama F&N Coca Cola Sdn Bhd dan Alam Flora selama 3 bulan bermula Mei lalu.
Guru Penolong Kanan sekolah berkenaan, Hajah Supinah Suradi berkata, kejayaan mereka adalah hasil kerjasama pelbagai pihak serta strategi pihak sekolah menarik minat pelajar melalui insentif yang ditawarkan.
“Pertama kami libatkan semua murid,untuk menyertai kempen itu,bagi surat siaran pada parents,kemudian kami beri hadiah hadiah bagi kelas kelas yang dapat kutip 800kg”,kata Hajah Supinah lagi.
Pada 2007, sekolah ini mendapat tempat kedua dan tempat keempat tahun lalu, dalam usaha menyokong kegiatan memulihara alam sekitar yang semakin tenat dalam era globalisasi, masa kini.
Hasil kejayaan yang dicapai sejak dua tahun lalu, sekolah ini telah membina sebuah bangunan khas di bawah pengurusan Kelab Pencinta Alam Sekolah. Hadiah tahun ini juga akan dimasukkan ke tabung Kelab berkenaan.-NADIA (TV SELANGOR)

