Istilah Dewan Undangan Negeri Selangor ditukar kepada Dewan Negeri Selangor
Wednesday, 08 July 2009 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM, 8 Julai – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan penukaran sebutan nama Dewan Undangan Negeri Selangor kepada Dewan Negeri Selangor.
Katanya, ia sejajar dengan perkataan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.
Menurut beliau, penggunaan perkataan ‘undangan’ itu adalah suatu kesalahan umum yang menjadi kelaziman dan kebiasaan hingga ke hari ini dan segala urusan rasmi selepas ini perlu menggunakan istilah asal.
“Saya perlu mengumumkan suatu perkara, iaitu dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor pada Mei 1959 dan Peraturan Tetap menyatakan bahawa istilah Dewan disebut Dewan Negeri Selangor, bukan Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Itu sebenarnya adalah suatu kesalahan umum (commom error) yang menjadi kelaziman, jadi saya mahu menggunakan istilah asal, iaitu Dewan Negeri Selangor dalam semua urusan rasmi mulai hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Tan Sri Khalid mengingatkan wakil-wakil rakyat tidak lupa pada janji dan tanggungjawab yang telah diberi oleh rakyat untuk menyuarakan suara hati dan kehendak mereka.
Berucap merasmikan mesyuarat kedua, penggal kedua, sidang dewan negeri Selangor ke-12 hari ini, beliau berkata, rakyat adalah golongan yang berkuasa pada hari pilihan raya kerana keputusan menentukan perubahan terletak di tangan mereka.
Menurutnya, walau sesibuk mana sekalipun, wakil rakyat tidak harus lupa terhadap falsafah dan dasar perjuangan parti serta maksud kedudukan mereka sebagai wakil rakyat.

