Kawalan Bandar I-City Dipertingkatkan

Tuesday, 07 July 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 7 Julai – Polis Selangor bercadang untuk memberi tumpuan khusus bagi meningkatkan tahap keselamatan di bandar I-City Selangor yang bakal menjadi tumpuan ramai pada masa hadapan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata pihaknya bercadang untuk menempatkan sebuah balai polis untuk keselamatan pelabur dan juga orang ramai yang berkunjung ke bandar tersebut.

“Oleh itu, kita perlu merancang daripada sekarang apa bentuk perancangan keselamatan yang perlu dibuat. Dan saya juga telah difahamkan ada sebidang tanah yang dikhaskan untuk polis, Insya Allah kita akan tengok dan rancang balai polis kelas apa yang patut kita dirikan, rancangkan untuk kawasan ini”, katanya.

Demikian kata, Datuk Khalid pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke bandar I-City, Shah Alam petang tadi.

Menurutnya, selain menjaga keselamatan orang ramai, pihaknya juga bercadang mewujudkan program komuniti melibatkan pihak polis dan penghuni di kawasan terbabit.

“Apabila seluruh kompleks 72 ekar ini siap sepenuhnya kita akan merancang program-program komuniti polis bersama-sama penghuni di kawasan sini dan saya pasti 2015 kita pun boleh memberi coverage keselamatan yang lebih baik lagi”, katanya.

Sehingga kini sejumlah 6 ekar kawasan berkenaan sudah dibangunkan.

Tambah Datuk Khalid, mengikut perancangan menjelang 2015 penghuni di kawasan ini bakal menjangkau 50 ribu orang. – MURIZA ABDUL HAMID