Adun Perlu Main Peranan Dan Tanggungjawab

Sunday, 05 July 2009 | Ruangan: Berita

SUBANG JAYA, 5 Julai – Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang telah diberi mandat oleh rakyat untuk membela nasib mereka, perlu lebih prihatin dengan peranan dan tanggungjawab tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memantau dan menilai prestasi yang ditunjukkan oleh adun-adun pembangkang dan pakatan rakyat.

Pada masa yang sama, katanya, prestasi ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua-ketua kampung juga dipantau bagi memastikan rakyat menikmati semua kemudahan yang disediakan.

“Pada saya prestasi adun-adun berhak dinilai, sama ada ia pembangkang atau pakatan rakyat, masyarakat kini sudah pandai menilai mereka ingin melihat adun-adun yang sepatutnya bekerja menyampaikan suara rakyat dan boleh menyatakan suara dan hak rakyat di dewan,” jelasnya.

Rodziah berkata demikian selepas merasmikan acara amal makan durian bagi mengisi tabung Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia di Subang Jaya, tengahari tadi.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan dan menyokong program-program amal seperti ini bagi menyokong usaha mereka membantu pesakit yang kini sedang menerima rawatan di hospital.

“program seperti ini membantu kanak-kanak yang tidak ada harapan untuk hidup dan sumbangan tersebut akan dimasukkan dalam tabung yang mana kanak-kanak akan dipenuhi impian mereka, kita bagi sesuatu yang mampu menggembirakan mereka,” katanya.

Majlis hari ini yang bermula jam 12 tengahari tadi, mendapat sambutan lebih 200 pengunjung di kompleks beli-belah ini.

Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM 10 ringgit untuk menikmati pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan dan buah manggis.

Presiden Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia, Tan Sri R. V. Navaratnam berkata, ini merupakan program kali kedua yang dianjurkan. Pada program tahun lalu, persatuan ini berjaya mengutip sebanyak RM 20 ribu ringgit.

“Ini merupakan program kedua, saya sangat gembira dapat sokongan dari semua untuk datang makan durian, ini adalah untuk anak-anak yang tidak berapa lama hidup,” katanya.

“Laporan dari doktor untuk melawat pesakit dan tanya apa yang dia suka, jangan bagi dia putus harapan, bila kita bagi hadiah, dia akan gembira itu sudah cukup puas untuk kita,” jelasnya.-TV SELANGOR