Futsal Piala Menteri Besar Dapat Sambutan Menggalakkan
Sunday, 05 July 2009 | Ruangan: BeritaBANTING, 5 Julai – Kejohanan Futsal Piala Menteri Besar Selangor untuk edisi kedua yang berlangsung di Jugra, Banting, memperlihatkan peningkatan positif dari aspek penyertaan peserta.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ia suatu perkembangan menggalakkan dan acara tahunan yang diadakan ini bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan futsal.
“ Penganjuran futsal piala menteri besar kali ini terdapat 82 buah pasukan, 54 lelaki dan 28 wanita, ini beerti lebih 800 pemain akan berada di Jugra dan ucapan syabas dan tahniah kepada peserta yang datang dari Perak, Pahang, dan Johor yang datang bertanding,” katanya.
Tan Sri Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan kejohanan itu di Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor (PULAPES), Jugra.
Katanya, sukan adalah antara aktiviti penting untuk mengajar setiap individu tentang disiplin, pengorbanan, perjuangan dan ketahanan mental dalam sesebuah keluarga, masyarakat dan Negara.
Sementara itu, Pengarah PULAPES, Abdul Hakim Mahmud berkata, program ini menjadi salah satu cara untuk mengelakkan anak-anak muda di negeri ini daripada melakukan aktiviti yang tidak sihat.
“ Saya sangat gembira kerana cabaran yang diberi kepada anak muda dikalangan belia-belia ini disahut dengan baik dan menunjukkan perkembangan yang baik berbanding tahun lepas.
“Cabaran itu dilihat telah disambut dan ia sebagai sebuah pertandingan yang dapat membantu mengurangkan gejala sosial remaja dan mereka menjalani kehidupan yang sihat,” katanya.
Abdul Hakim yang juga Pengerusi Kejohanan ini berkata, ia juga merupakan satu program sosial PULAPES untuk membantu Selangor dalam bidang sukan.
Sementara itu, beberapa peserta yang ditemui teruja dengan kejohanan futsal ini dan menganggapnya sangat bermanfaat untuk golongan belia.
“Memang boleh isi masa lapang dari segi sosial ia menambahkan kenalan, disamping bermain yang boleh meluaskan hubungan dan perpaduan,” kata Norhashima Abdul Wahab, Peserta dari Kumpulan Millenium
Begitu juga bagi Darul Izham Rosman, Peserta dari Kumpulan Court Soccer yang mengatakan futsal ni memang aktiviti yang menarik untuk mengeratkan siratulrahim dan berfaedah.
Dalam kejohanan ini, johan kategori lelaki terbuka akan menerima hadiah wang tunai 5,000 ringgit berserta piala pusingan, piala iringan dan pingat.
Manakala bagi johan kategori wanita terbuka akan menerima hadiah wang tunai 1,500 ringgit, piala pusingan, piala iringan dan pingat.-TV SELANGOR

