Tuduhan Setiausaha MCA Mengelirukan Rakyat:Khalid
Friday, 03 July 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 3 Julai – Kerajaan negeri melahirkan rasa kesal dan menyifatkan tuduhan Setiausaha MCA Sungai Besar sebagai satu tuduhan tidak berasas dengan niat mengelirukan rakyat.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, wakil parti pembangkang itu tidak meneliti terlebih dahulu sebelum menuduh terdapat penyelewengan kuasa berhubung Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang dilancarkan kerajaan negeri pada Ogos 2008 lalu.
Berhubung dengan syarat kelayakkan yang dipertikaikan setiausaha MCA, Tan Sri Khalid menegaskan, pemohon yang lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974 dan sedang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur, layak memohon skim itu.
Syarat lain ialah warganegara yang lahir dan bermastautin di Selangor, sekurang-kurangnya selama 15 tahun.
Berhubung dengan tuduhan 1000 borang pemohonan skim itu yang ditolak, Rantaian Mesra Sdn Bhd iaitu anak syarikat kerajaan, menyangkal tuduhan berkenaan.
Ini kerana sebagai urusetia yang mengendalikan skim itu, mereka hanya memproses borang yang dihantar dari Pusat Khidmat DUN.
Selain itu, Tan Sri Khalid turut menyifatkan cadangan setiausaha MCA supaya wang sumbangan RM1,000 diberikan kepada menerima selepas mendaftarkan di bawah skim itu, tidak wajar.
Ini kerana tujuan skim itu ialah sebagai sumbangan menerusi Skim Khairat Kematian bagi meringankan beban keluarga atau waris warga emas terbabit, selepas dia meninggal dunia.-NADIA (TV SELANGOR)

