Penyelewengan tukar milik tanah Selangor didalangi ‘orang dalam’
Jumaat, 03 Julai 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 3 Julai - Penyelewengan dalam pemilikan tanah ketika Barisan Nasional mentadbir negeri Selangor, kebanyakannya dilakukan dengan bantuan ‘orang dalam’, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.
Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah dan Tanah atau PADAT, berkata penukaran hak milik tidak mungkin boleh dibuat sewenang-wenangnya, jika bukan dengan bantuan ‘orang dalam’.
“Ini mesti ada kerjasama dan komplot di pejabat tanah kerana ia tidak boleh dilakukan hanya dengan sebuah pihak sahaja tanpa mendapat kerjasama orang dalam samada pegawai-pegawai diperingkat pejabat daerah atau sebagainya kerana jika tidak, ia tidak mungkin boleh terjadi,” katanya.
Dalam satu temubual ekslusif dengan wartawan TVselangor hari ini, beliau berkata, penyelewengan ini bagaimana terbongkar dan ia menjadi satu masalah yang terpaksa diselesaikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.
Ini kerana, katanya, isu yang sangat sensitif ini melibatkan pemimpin-pemimpin terdahulu, orang kenamaan dan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan.
Suee Lim berkata, kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menubuhkan Task Force Tanah , untuk menyiasat dengan lebih terperinci semua penyelewengan yang telah dikenalpasti.
Menurut beliau, mereka yang didapati bersalah, akan didakwa dan dihadapkan ke mahkamah.
“Selepas Pilihanraya ke-12 yang lepas, peralihan kuasa kepada kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan dapat membantu rakyat ini dengan penubuhan Task Force ini untuk menyiasat dengan lebih terperinci tentang apa yang berlaku mengenai isu tanah ini.
“Kerajaan negeri sebelum ini dikenalpati terdapat banyak kelemahan dalam pengurusan mereka,”katanya.
Suee Lim berkata, banyak isu tanah juga akan dibawa dalam persidangan dewan undangan negeri yang akan bersidang selama 11 hari, mulai 8 Julai ini.
Bagaimanapun, mereka menggesa kepada orang yang terlibat supaya melaporkan dan mengemukakan bukti kepada mereka agar usaha menyiasat perkara ini lebih mudah.
Sementara itu, seorang wakil penduduk Kampung Perepat, V.Nedumaran berkata, sejak 20 tahun lalu, isu ini masih tidak selesai dan beliau masih menanti janji-janji kerajaan terdahulu untuk memberi pemilikan tanah itu.
Bagaimanapun, menurutnya, setelah janji-janji itu diabaikan dan pelbagai alasan diberi oleh pihak berkuasa, beliau dan penduduk lain mencari punca dan segala terbongkar apabila terdapat beberapa lot rumah banglo terbina di kawasan itu.
“Alasan demi alasan yang sama kami terima apabila meminta hak yang telah dijanjikan dan apabila carian dilakukan untuk mengetahui hal sebenar, kami dapati pemilikan tersebut telah diberi kepada golongan mewah yang terdiri daripada datuk-datuk, tan sri-tan sri dan sebagainya dan penyiasatan yang dijalankan mengetahui bahawa terdapat sebuah keluarga tertentu mendapat satu lot tanah yang besar,”katanya.
Tanah tersebut adalah di bawah Rancangan Revolusi Hijau Rancangan Malaysia Ke-3 (RMK-3) dengan tujuan untuk mewujudkan sebuah perkampungan dengan menyediakan seratus ekar tanah kepada anak jati Klang yang bersedia mengusahakan tanah itu selama setahun dan akan menyerahkannya selepas tamat tempoh itu.ATIQAH YAACOB(TV SELANGOR)







