Selangor Bina Jeti Awam Baru Pulau Ketam
Friday, 03 July 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 3 Julai – Kerajaan negeri Selangor hari ini memutuskan untuk membina sebuah jeti awam baru di Pulau Ketam untuk kegunaan penduduk pulau itu dan kawasan sekitarnya.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor(MTES), hari ini berdasarkan keperluan bagi penduduk Pulau Ketam yang kini menggunakan jeti sementara milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri di Shah Alam, hari ini beliau berkata butir-butir terpeinci mengenai pembinaan jeti baru itu akan diumumkan akan tempoh dua minggu lagi.
“Oleh itu kerajaan negeri Selangor berpendapat adalah penting untuk memberikan jeti umum atau awam kepada masyarakat Pulau Ketam dan masyarakat sekitarnya,” kata Tan Sri Abdul Khalid.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menunggu laporan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menetapkan lokasi serta kaedah yang sesuai untuk mendirikan jeti berkenaan.
Mengulas mengenai kebimbangan penduduk berikutan tempoh penggunaan jeti Jabatan Perikanan di Pulau Ketam yang hampir tamat, Menteri Besar berkata, jabatan itu sudah bersetuju untuk memberikan perkhidmatan jeti percuma kepada penduduk Pulau Ketam sehingga jeti awam baru siap dibina di pulau itu.
“Kita telah berbincang dengan perikanan supaya tidak menghadkan tarikh, jadi selepas 1 Ogos mereka telah bersetuju membenarkan penduduk terus menggunakan jeti terbabit sehingga ada jeti alternatif dibina oleh kerajaan negeri,”jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Tan Sri Khalid turut menggesa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) mempercepatkan kerja-kerja memperbaiki jeti awam yang tenggelam awal bulan lalu.
Jeti yang agak sesak, terutama pada hujung minggu ini tenggelam pada 6 Jun lalu, menyebabkan penduduk serta orang ramai menghadapi kesukaran untuk berulang alik ke Pulau Ketam dan ke Bukit Tinggi, Sumatera.
Tambah beliau, masalah yang diselesaikan sekarang bukan berpunca daripada kerajaan sekarang sebaliknya daripada kesilapan pentadbiran kerajaan lalu.
“Masalah yang timbul hari ini adalah kesilapan pentadbiran lalu, bukan kesilapan kerajaan kini. Namun kerajaan negeri tetap akan menyelesaikan masalah ini biarpun tiada kempen bantahan daripada parti pembangkang seperti MCA, kerana jeti awam ini adalah hak penduduk Pulau Ketam,”katanya.-MURIZA ABDUL HAMID

