Kes H1N1 Di Selangor Kini 124
Monday, 29 June 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 29 Jun – Selangor mencatatkan jumlah paling tinggi kes jangkitan selsema babi atau influenza A (H1N1) berbanding negeri-negeri lain setakat ini.
Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Tempatan, Dr Xavier Jayakumar kepada pemberita di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini, petang tadi berhubung perkembangan penularan wabak selsema babi di negeri ini.
“Mengikut perangkaan yang diperolehi menunjukkan kes keseluruhan di Selangor sebanyak 124 kes dimana 106 adalah kes import manakala 18 kes lagi penularan tempatan”, katanya.
Menurut beliau, pada 28 Jun sehingga 8.00 pagi tadi sekolah yang sudah ditutupĀ ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jalan Davidson, Sri Cempaka International School, Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 1&2, Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Damanasara Utama 2 (1 kelas sahaja ditutup), SMK Wangsa Maju SS2 (1 kelas sahaja ditutup), SMK Abdul Rahim 2 Kudat danĀ SJK (C) Suun Jin High School.
Sementara itu, SMK di Seksyen 9 Shah Alam yang ditutup minggu lalu, dibuka semula pagi tadi selepas didapati bebas daripada wabak itu.
Mengulas lanjut mengenai penularan H1N1,Dr Xavier berkata jumlah kontak yang menjalani kuarantin di rumah setakat ini sebanyak 628 orang.
“Walaubagaimanapun kes ini masih terkawal dan kita berharap orang ramai tidak panik selain mengamalkan langkah-langkah pencegahan”,katanya sambil berharap rakyat negeri ini memberikan kerjasama penuh terhadap usaha menangani penularan H1N1.

