Pengambilalihan Bangunan Untuk Manfaat Penduduk
Wednesday, 24 June 2009 | Ruangan: Berita, Kenyataan Media
SHAH ALAM, 24 Jun – Usaha Kerajaan Negeri Selangor mengambilalih bangunan di atas kawasan lapang mengikut proses yang ditetapkan adalah bagi memastikan bangunan milikan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh penduduk setempat, dan bukan menjadi alat mengaut keuntungan pihak tertentu ataupun disalahgunakan untuk tujuan komersial.
Ahli Parlimen Pandan Ong Tee Kiat kebelakangan ini menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan kemudahan awam yang dikendalikan oleh Badan Bukan Kerajaan merupakan satu bentuk penindasan dan harus diberhentikan.
Pendirian Ong memperlihatkan Presiden MCA itu tidak faham usaha baik Kerajaan Negeri yang cuba memperbetulkan kesilapan kerajaan lalu iaitu membenarkan bangunan milik kerajaan disalahgunakan untuk tujuan lain sehingga mengetepikan keperluan penduduk setempat.
Di bawah pentadbiran kerajaan lepas, bekas Menteri Besar telah memberi surat jaminan kepada sebuah badan bukan kerajaan iaitu Yayasan Nusa Bakti untuk menguruskan lima dewan tersebut, namun didapati premis-premis itu telah disalahgunakan untuk tujuan komersial dan politik yang merugikan penduduk tempatan.
Kini Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil alih lima dewan orang ramai yang berada di atas kawasan lapang untuk tujuan awam bagi mengembalikan hak komuniti kepada penduduk. Sebelum ini, MPAJ juga telah mengambil alih dewan orang ramai di Kampung Melayu Ampang yang dulu merupakan pejabat UMNO untuk dijadikan Pusat Dialisis Rakyat.
Antara panduan yang digariskan dalam pengambilalihan bangunan di atas tanah lapang adalah bangunan harus dirobohkan jika terbengkalai, atau memberikan tempoh masa munasabah kepada pemilik premis untuk mengosongkan premis sebelum perobohan; ambilalih premis milikan kerajaan tetapi di atas tanah milik untuk tujuan awam.
Ong tidak wajar terus mengeluarkan tuduhan yang tidak benar semata-matanya untuk mencemarkan usaha baik Kerajaan Negeri.
Jika benar sepertimana didakwa oleh Ong bahawa berlakunya penyelewengan, beliau harus melaporkan kes kepada pihak berkenaan untuk tindakan undang-undang demi kepentingan awam.-SEKRETARIAT AKHBAR KERAJAAN NEGERI SELANGOR

