Jangan Cuba Kelirukan Rakyat Dengan Isu Elaun Ahli Majlis
Friday, 19 June 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 19 Jun – Kerajaan negeri Selangor hari ini mengingatkan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo supaya berhenti merosakkan imej baik kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat(PR).
Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri dalam satu kenyataannya hari ini berkata kerajaan negeri sentiasa telus dalam membuat keputusan atas landasan rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang setimpal dengan nilainya.
Menurutnya, kerajaan negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) telah melaksanakan beberapa langkah bagi memantapkan lagi tugas Ahli Majlis antaranya kos pengurusan bulanan bagi setiap pejabat Ahli Majlis dalam lingkungan RM1,000 hingga RM2,500 sebulan bagi sewaan pejabat, gaji kakitangan dan utiliti.
“Semalam, Ketua Pembangkang Negeri Selangor DatO’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim cuba mengelirukan rakyat dalam isu elaun Ahli Majlis dan kos pengurusan bulanan pejabat Ahli Majlis, yang jelas cuba memutarbelitkan fakta sebenar meskipun persoalan tersebut telahpun dijelaskan dalam DUN lalu”, kata kenyataan itu.
Menurutnya, kos pengurusan bulanan bagi setiap pejabat Ahli Majlis disediakan kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri bagi memastikan Ahli Majlis yang dilantik oleh kerajaan negeri itu mendapat kemudahan asas untuk menjalankan tugas harian.
Kata kenyataan itu, antara 12 PBT di negeri Selangor, enam PBT menyediakan kos pengurusan bulanan dari RM1,000 hingga RM2,000, lima PBT dari RM2,000 hingga RM2,500 manakala satu PBT lagi tidak menyediakan apa-apa peruntukan bagi pengurusan pejabat Ahli Majlis.
“Perbezaan kadar wujud disebabkan oleh kapasiti dan keupayaan PBT masing-masing.
“Walau bagaimanapun, sekiranya pejabat Ahli Majlis terletak di bangunan milikan PBT, kos sewaan pejabat akan diserapkan ke dalam akaun PBT,”kata kenyataan itu.
Tambahnya, elaun Ahli Majlis juga dinaikkan mulai 1 September tahun lalu berikutan setiap Ahli Majlis dipertanggungjawabkan dengan satu zon sekarang, iaitu elaun Ahli Majlis kawasan perbandaran dan kawasan bandaraya yang sebelum ini dibayar pada kadar berbeza iaitu RM500 dan RM750 sebulan diselaraskan kepada RM750 sebulan; elaun Ahli Majlis daerah yang sebelum ini RM300 sebulan dinaikkan kepada RM500 sebulan.
Elaun mesyuarat ahli majlis PBT yang kadarnya antara RM40 hingga RM100 mengikut kawasan juga diselaraskan kepada RM100 bagi setiap kali mesyuarat, bukannya RM150 seperti mana didakwa oleh Ketua Pembangkang negeri Selangor.
“Selain polisi baru yang diperkenalkan, kerajaan negeri juga mengekalkan sistem peruntukan bagi setiap Majlis Perwakilan Penduduk(MPP)(tertakluk kepada PBT masing-masing) untuk menggerakkan program kemasyarakatan dan kebajikan tanpa kira kaum, agama dan latar belakang”, jelas kenyataan itu.



