Kerajaan Selangor Harus Teliti Terperinci Isu Tanah Kampung Perepat

Sunday, 21 June 2009 | Ruangan: Berita

Kerajaan Negeri harus meneliti isu tanah Kampung Perepat, Kapar secara terperinci terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan, kata Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya,  isu tanah berkenaan sudah berlanjutan lebih 20 tahun dan sudah tentu banyak data sewaktu pentadbiran Barisan Nasional yang perlu diteliti.

“Masalah Kg Perepat ini sudah 20tahun, bukan senang kalau nak diselesaikan, sudah lama diselesaikan, kerajaan negeri sudah buat kajian termasuk penindihan nama tapi juga dari segi pemberian hak milik tanah dari TOL kepada pemilikan selama 29tahun, jadi oleh sebab itu beberapa perkara mesti diselesaikan atau dikemaskinikan sebelum apa-apa keputusan berlaku”, ulas beliau ketika ditanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru anjuran Jabatan Agama Islam Selangor.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam  semalam yang meminta kerajaan negeri bertindak segera menyelesaikan isu itu, termasuk membawanya ke sidang DUN, bulan depan.

Manikavasagam semalam membuat laporan kali ke lima ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam berhubung isu tanah yang didakwa terdapat penyelewengan.

Menurut Tan Sri Khalid, isu berkenaan tidak akan selesai dengan mudah dan mungkin akan berpanjangan, walaupun dibawa ke sidang DUN.

Bagaimanapun,beliau tidak menghalang jika ada Ahli Dewan Undangan Negeri ingin membawa isu ini ke sidang yang akan datang.

Tanah seluas 16 hektar itu pada asalnya dipajakkan kepada penduduk miskin secara (TOL) sejak 29 tahun lalu. Akan tetapi kerajaan negeri pimpinan Khir Toyo secara tiba-tiba menukar hak miliknya dan menyerahkan kepada beberapa golongan kaya  bergelar Datuk dan Tan Sri, tiga tahun lalu.