Selangor Cadang Laksana Konsep Leisure Farm

Selasa, 16 Jun 2009 | Ruangan: Berita

sHAH ALAM, 16 Jun - Selangor tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan jalinan kerjasama dengan Taiwan pada masa hadapan dalam bidang pelancongan.

Demikian kata Pembantu Jawatankuasa  Tetap Pelancongan, Edward Lee Poh Lan selepas menerima kunjungan tujuh orang anggota delegasi dari ‘Taiwan Leisure Farm Development Associatan’ (TLFDA) di Bilik Gerakan MTES, di sini hari ini.

Turut hadir wakil dari Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) dan Persatuan Homestay Negeri Selangor.

“Kita berharap selepas pertemuan ini akan ada pertukaran program pelancongan antara Taiwan dan Selangor pada masa depan”,katanya pihak delegasi dari negara tersebut turut memberi reaksi positif berhubungan cadangan kerjasama tersebut.

Menurutnya, Selangor dan  Taiwan mempunyai inisiatif yang sama dalam memajukan sektor pelancongan di tempat masing-masing terutamanya dikawasan luar bandar.

“Sebelum kita bincang secara terperinci mengenai cadangan tersebut pihak kita mahu menunjukkan dahulu apakah yang boleh Selangor tawarkan kepada mereka melalui lawatan ke Homestay yang mereka ikuti hari ini”,katanya delegasi berkenaan dijadualkan melawat Homestay Kampung  Sungai Sireh dan juga Kelip-Kelip Kampung Kuantan di Kuala Selangor.

Terdahulu, para delegasi diberi taklimat mengenai perkembangan homestay di Selangor.

Dalam lawatan tadi, delegasi dari TLFDA iaitu sebuah badan pelancongan bukan kerajaan turut bertukar pandangan dan pendapat mengenai kegiatan pelancongan yang dijalankan di negara mereka.

Salah seorang wakil delegasi berkata Taiwan telah mewujudkan pelancongan ala ekonomi baru yang membantu menambahkan pendapatan penduduk luar bandar di negara tersebut.

“Pelancongan Leisure Farm menjadi salah satu aktiviti  yang popular untuk setiap keluarga di Taiwan khususnya pada hujung minggu dan apa yang mengejutkan jumlah  pendapatan percutian pertanian ini telah meningkat sebanyak 6.6 kali ganda”, katanya percutian luar bandar itu sudah menambahkan saluran ekonomi terbaru kepada Taiwan.

Mengulas mengenai konsep Leisure Farm yang diamalkan negara itu, Edward juga tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakannya di homestay sedia ada di Selangor sekiranya ia dapat membantu meningkatkan pendapatan petani luar bandar. - MURIZA ABDUL HAMID