Orang Ramai Dijemput Ke Pameran Gambar Kenangan Kampung Baru

Monday, 15 June 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 15 Jun – Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor dengan kerjasama Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menganjurkan ‘Pameran Gambar Kenangan Kampung Baru negeri ini dalam setiap daerah bermula semalam.

Pameran dengan tema ‘Mencari Kampung Halaman Idaman’ diadakan bersempena Ulangtahun Ke-61 pembentukan Kampung Baru di Malaysia.

Sebanyak sembilan buah kampung baru mengambil bahagian dalam pameran tersebut yang dijangka berakhir pada 16 Ogos ini di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dekat sini.

“Program ini bertujuan membolehkan penduduk kampung-kampung baru mengenali lebih mendalam sejarah dan perkembangan sosial ekonomi kampung mereka”, kata salah seorang wakil Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru Selangor kepada SelangorKini Online hari ini.

Orang ramai yang berminat untuk melihat foto-foto kenangan ini boleh berkunjung ke pameran tersebut mengikut tarikh yang sudah dijadualkan.

Kampung Baru Sg. Chua, Hulu Langat pada 14 Jun 2009; Kampung Baru Sekinchan ‘Site B’, Sabak Bernam (21 Jun 2009); Kampung Baru Tanjung Sepat Indah, Kuala Langat (28 Jun 2009); Kampung Baru Sungai Terentang, Gombak (5 Julai 2009); Kg Baru Ijok Baru, Kuala Selangor (12 Julai 2009); Kampung Baru Seri Sungai Pelek, Sepang (19 Julai 2007); Kampung Baru Sejantung, Kalumpang, Hulu Selangor (26 Julai 2009); Kampung Baru Pandamaran, Klang (2 Ogos 2009); Kampung Baru Seri Kembangan, Petaling (9 Ogos 2009) dan Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 16 Ogos 2009.

Pameran dijadualkan bermula dari jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang dan pelbagai aktiviti menarik turut disediakan kepada pengunjung hadir. – MURIZA ABDUL HAMID