Dakwaan PBT Belanja RM 8 Juta Tidak Benar

Ahad, 14 Jun 2009 | Ruangan: Berita

PETALING JAYA, 14 Jun - Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan dakwaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor membelanjakan RM8 juta setahun untuk menampung elaun pejabat, gaji kakitangan dan kos utiliti bagi setiap ahli majlis selain elaun bulanan sedia ada.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar, Tan Sri Abdul Khalid berkata perkara yang sama turut dilakukan kerajaan negeri terdahulu (Barisan Nasional) ketika  memerintah Selangor.

Malah menurutnya wang peruntukkan juga digunakan oleh ahli majlis untuk mengadakan lawatan ke luar negara.

“Sebelum 2008, ahli majlis juga dibayar elaun cuma bezanya pada masa pemerintahan Barisan Nasional hanya orang politik sahaja dipilih tetapi sekarang 30 peratus daripada mereka adalah terdiri daripada organisasi bukan kerajaan dan bukan politik”, katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penyalahgunaan peruntukkan PBT oleh Pakatan Rakyat seperti yang disiarkan dalam sebuah laman web.

Dalam masa yang sama, Abdul Khalid juga menolak andaian bahawa ahli majlis sudah dibayar dengan jumlah yang tinggi oleh pihak PBT.

“Tidak semestinya kita mengatakan tidak ada perbelanjaan di sini, bayangkan ahli majlis  yang bekerja begitu kuat takkan kita tidak boleh bagi dia elaun RM700 hingga 800 sebulan.

Gaji buruh pun lebih daripada itu, jadi saya rasa andaian bahawa ahli majlis dibayar begitu banyak adalah tidak benar”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dataran Anak Muda Petaling Jaya Selatan, DUN Taman Medan, dekat sini petang tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Adun Sijangkang, Dr Yunus Hairi; Adun Batu Caves, Amirudin  Shari dan Adun Teratai, Jenice Lee.

Sementara itu, Program Dataran Anak Muda yang dilancarkan Dato’ Menteri Besar hari ini dijadikan platform atau wadah yang mampu untuk memikul tanggungjawab mengembang dan meningkatkan kualiti belia di Selangor.

Dataran itu nanti bakal menjadi tempat untuk anak muda berkumpul untuk merancang, membina dan melaksanakan pelbagai program yang bersesuaian dengan minat mereka secara bebas tetapi berhemah.

“Saya harap idea mengilhamkan Dataran Anak Muda seperti yang dilakukan di Dun Taman Medan diberikan sokongan dan seterusnya boleh dikembangankan ke seluruh Selangor”, kata Abdul Khalid.

Menurutnya, kerajaan negeri  sudah memperuntukkan  antara RM3 juta hingga RM5 juta setahun untuk program seperti itu di Selangor yang melibatkan semua aspek termasuk aktiviti, pengurusan dan lain-lain”, katanya semua itu terpulang kepada zon masing-masing untuk menggerakkan aktiviti dalam kawasan masing-masing.