MB: Selesai Segera Kemelut Aset Air Selangor
Sabtu, 13 Jun 2009 | Ruangan: Berita
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim ketika sidang media selepas perasmian Festival Sains dan Teknologi (FesSTIS) di Kompleks PKNS, Shah Alam - FOTO MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN
SHAH ALAM, 13 Jun – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memberitahu pendiriannya sama dengan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan isu pengambilalihan pengurusan air di negeri ini.
“Pendirian saya sama seperti Perdana Menteri untuk berkhidmat kepada rakyat dan PM akan bersetuju dengan pendirian saya jika kita bagi rakyat air yang murah malah beliau juga akan disayangi rakyat”, kata Abdul Khalid ketika diminta mengulas kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak pagi tadi di Subang menyatakan nilai aset air yang ditetapkan kerajaan negeri tidak munasabah.
Menurutnya kebajikan rakyat perlu diutamakan, sekiranya kerajaan negeri membeli pada kadar yang tinggi, rakyat juga terpaksa menanggung akibatnya dan ini amat membebankan rakyat di Selangor dan Wilayah Persekutuan kelak.
Katanya, nilai aset air Selangor yang ditawarkan sebelum ini kepada Kerajaan Persekutuan tidak mungkin merugikan mana-mana pihak malah amat berpatutan terutamanya kepada syarikat-syarikat pemegang konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd.
“Harga yang dibeli tidak akan merugikan syarikat konsesi, tetapi mereka tidak untung banyak. Jadi ia adalah adil untuk kedua-dua pihak,” ujar Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui pada majlis perasmian Festival Sains dan Teknologi Selangor 2009 (FesSTIS) di Kompleks PKNS dekat sini.
Dalam pada itu, proses rundingan pengambilalihan aset air antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Persekutuan masih berjalan dijangka berakhir pada penghujung Jun ini.
Walau bagaimanapun, sekiranya Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan tersebut, tawaran mengambil alih aset air sebanyak RM5 billion sepatutnya berakhir semalam namun begitu ianya tetap diteruskan sehingga satu keputusan bersama dicapai.
Dalam pada itu, proses rundingan penstrukturan semula industri air tersebut, kerajaan negeri diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai Unit Perancang Ekonomi (UPEN), pegawai dari Pejabat Menteri Besar dan beberapa pakar pelaburan manakala Kerajaan Persekutuan pula diwakil oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Pada sebelum itu, kerajaan negeri sudah menawarkan untuk membeli keseluruhan hak konsesi dan aset keempat-empat syarikat itu pada harga RM5.7 bilion namun isu ini masih belum dapat diselesaikan berikutan ada syarikat-syarikat konsesi terbabit menolak tawaran harga tersebut. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN







