FesSTIS Merakyatkan Sains dan Teknologi Rakyat Selangor

Sabtu, 13 Jun 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 13 Jun – Junaidi Osman dari Institut Kemahiran Belia Tinggi Sepang dengan rekaciptanya “Smart Mover” dinobatkan sebagai juara keseluruhan Anugerah Inovasi Cemerlang 2009, menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penghargaan pada Festival Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor (FesSTIS) yang berlangsung selama tiga hari di Kompleks PKNS, di sini petang tadi.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan pada festival tersebut, antaranya kategori Universiti dan Institusi Penyelidikan serta kategori Peringkat Orang Awam dengan ganjaran wang tunai berjumlah RM29,000, trofi dan sijil penghargaan, sumbangan Kerajaan Negeri Selangor.

“Penganjuran Festival Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor 2009 ini bertujuan meningkatkan kesedaran, minat dan sokongan masyarakat terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi serta menggalakkan penyuburan pemikiran saintifik khususnya rakyat negeri ini”, kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada majlis perasmiannya petang tadi.

Menurutnya, melalui pendedahan program bertemakan kemajuan bidang sains, teknologi dan inovasi, festival ini dijangka dapat merapatkan jurang sosio-ekonomi dan jurang digital Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan rakyat negeri Selangor.

Di samping itu, program berkenaan mampu “merakyatkan sains dan teknologi” agar rakyat Selangor mendapat peluang dan ruang bagi menghayati pelbagai manfaat daripada sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam usaha menikmati kehidupan yang lebih bermakna. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

Junaidi Osman (dua dari kiri) dari Institut Kemahiran Belia Tinggi Sepang dengan rekaciptanya “Smart Mover” dinobatkan sebagai juara keseluruhan Anugerah Inovasi Cemerlang 2009

Junaidi Osman (dua dari kiri) dari Institut Kemahiran Belia Tinggi Sepang dengan rekaciptanya “Smart Mover” dinobatkan sebagai juara keseluruhan Anugerah Inovasi Cemerlang 2009. - FOTO MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN