Jawatankuasa Audit Khas Pantau Pemberian Kontrak Pengurusan Sampah
Friday, 12 June 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 12 Jun β Pemberian kontrak pengurusan sampah yang melibatkan Alam Flora di Selangor bakal dipantau oleh Jawatankuasa Audit Khas yang mungkin ditubuhkan bagi memastikan operatornya benar-benar layak untuk melaksanakannya.
Demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Sekretariat Akhbar, Pejabat Dato’ Menteri Besar hari ini memberitahu pemberian kontrak yang melibatkan orang tengah bakal diatasi dan mana-mana syarikat yang terlibat bakal berhadapan tindakan menarik balik kontrak mereka dan kes ini terus dilaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan.
Budaya pemberian kontrak melalui orang tengah bakal dibendung dengan kadar segera memandangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak mahu amalan tidak beretika ini terus menular sepertimana yang diamalkan kerajaan lalu.
Jawatankuasa tersebut juga dijangka menjalankan penelitian serta kajian ke atas nilai perkhidmatan yang disediakan sekaligus dapat menjamin perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kontraktor kepada rakyat Selangor setimpal dengan nilai wang tanpa mengira pandangan politik, bangsa atau agama.
Sistem tender yang lebih telus dan professional bakal diwujudkan pada masa hadapan bagi menambahbaik perkhidmatan awam kepada rakyat Selangor kelak.
- MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN



