Tempoh Satu Minggu Kemukakan Laporan Operasi Kuari

Khamis, 11 Jun 2009 | Ruangan: Berita
YB Yaakob Sapari (kanan) ketika meninjau sekitar kuari yang berdekatan dengan Taman Rawang Perdana 2.

YB Yaakob Sapari (kanan) diiringi YB Gan Pei Nei (ADUN Rawang) ketika meninjau sekitar kuari yang berdekatan dengan Taman Rawang Perdana 2.

RAWANG, 11 Jun -  Penduduk Taman Rawang Perdana 2 boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri Selangor sudah mengarahkan satu daripada dua operasi kuari granit berhampiran kawasan tersebut dihentikan serta merta.

Demikian kata Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (AMKN), Yaakob Sapari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan ketika ditemui pemberita semasa lawatan ke tapak letupan batu di Rawang Perdana 2 dekat sini.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil berikutan rungutan penduduk Taman Rawang Perdana 2 mendakwa kerja-kerja meletupkan batu di kuari berhampiran menjejaskan struktur rumah mereka berikutan beberapa gegaran besar berlaku semasa kerja-kerja meletupkan batu dilakukan.

Yaakob Sapari memberitahu pemberita bahawa terdapat tiga buah kuari granit yang beroperasi berhampiran  perumahan tersebut, dua daripadanya dipercayai untuk membekal batu bagi projek perumahan dan perniagaan manakala satu lagi bagi pembinaan lebuh raya berdekatan.

Katanya, operator bagi tiga kuari terbabit ialah Mahumas, Sunwaymas dan Panzana Sdn. Bhd.

“Kalau diberhentikan (kerja-kerja letupan batu), saya bimbang banjir akan berlaku di Rawang, air mengalir dengan laju dan bila musim hujan rawang akan banjir.

“Saya harap Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta polis akan memantau aktiviti letupan, saya dimaklumkan pernah berlaku batu terbang dari aktiviti letupan bawah ini ke rumah berdekatan dan ini sangat berbahaya kepada mereka”, ujar Yaakob yang bimbang keselamatan orang awam terancam malah gegaran yang kerap berlaku sudah mengakibatkan keretakan hampir keseluruhan rumah yang berdekatan kuari tersebut.

Sehubungan itu, Yaakob Sapari mengarahkan agar Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JMG mengadakan mesyuarat dengan kadar segera dengan mengemukakan kertas cadangan lengkap mengatasi masalah tersebut dan dibentangkan kepada penduduk Taman Rawang Perdana 2 sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bagi mendapatkan pendirian yang jelas tentang projek berkenaan.

“Kita minta PTG untuk buat laporan status tanah dan JMG pula sediakan laporan tentang kronologi dan proses kuari itu dalam tempoh seminggu”, tegasnya lagi.

Pada masa ini, tapak kuari tersebut mempunyai keluasan 63 ekar dan jenis kuari pula terdapat dua jenis, antaranya granit dan mitech. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

Beginilah kuari batu granit Rawang Perdanan 2 yang sudah ditarah tanpa mengikut garis panduan dan kaedah letupan yang dibenarkan.

Beginilah kuari batu granit Rawang Perdanan 2 yang sudah ditarah tanpa mengikut garis panduan dan kaedah letupan yang dibenarkan. - FOTO AHMAD FADHLI YAHYA