Jerebu: Selangor Larang Pembakaran Terbuka
Jumaat, 12 Jun 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 12 Jun - Kerajaan Selangor hari ini menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara di negeri ini akibat jerebu.
“Selangor kini mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan berikutan IPU di Pelabuhan Klang mencatatkan bacaan lebih 125 pagi ini”, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong ketika menjelaskan tahap kualiti udara di negeri ini, tengah hari tadi.
Menurutnya, pemantauan secara berterusan mungkin dilakukan pihak Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) sebelum sebarang keputusan diambil.
“JAS akan terus memantau situasi ini bagi melihat perkembangannya. Jika bacaan kekal atau terus meningkat dalam tempoh 72 jam akan datang, ibu pejabat JAS di Putrajaya akan membuat pengumuman mengenai tindakan seterusnya”, katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut meminta orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga selain melaporkan kepada pihaknya secepat mungkin jika terlihat mana-mana pihak atau individu tertentu melakukan pembakaran terbuka.
“Kerajaan negeri bersama JAS serta agensi terlibat sedang memantau sebarang aktiviti pembakaran terbuka di negeri ini dan pihak kita boleh mendakwa mana-mana pihak atau individu yang masih berbuat demikian”, katanya denda sebanyak RM5,000 boleh dikenakan atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali. - MURIZA ABDUL HAMID






