Selangor Anjur Seminar Keusahawanan Komuniti India

Jumaat, 12 Jun 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 12 Jun – Kerajaan negeri bersama Persatuan Perniagaan India Malaysia Selangor (PPIMS) bakal menganjurkan seminar keusahawanan di Auditorium, Dewan Sivik, Petaling Jaya, esok pada 7.45 pagi hingga 5.30 petang.

Seminar satu hari ini bakal dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar.

Misi utama seminar tersebut adalah untuk meningkatkan kemahiran dalam kalangan usahawan dan memberi inspirasi kepada mereka supaya menjadi ahli perniagaan yang berjaya kelak.

Selain itu, program ini juga penting sebagai asas mempertingkatkan perniagaan kaum India di samping memberi peluang kepada belia muda, ibu tunggal dan khususnya komuniti India yang berminat dalam memperbaiki status ekonomi dengan menceburi bidang perniagaan.

Beberapa sesi perbincangan dan penerangan berkenaan peluang-peluang perniagaan bakal disampaikan oleh penceramah yang berpengalaman dalam bidang tersebut.

Orang ramai khususnya masyarakat India yang berminat dalam bidang keusahawanan dijemput hadir menyertai seminar tersebut dan tiada sebarang bayaran dikenakan. - MURIZA ABDUL HAMID