MB: Pendirian Tetap Letak Exco Dalam LPK
Rabu, 10 Jun 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 10 Jun - Salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu dilantik untuk menganggotai ahli Lembaga Pengarah Pelabuhan Klang (LPK) walaupun cadangan itu sudah ditolak pengerusinya, Dato’ Lee Hwa Beng baru-baru ini.
Demikian kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai pendirian kerajaan negeri berhubung isu PKFZ atau Zon Bebas Pelabuhan Klang, di sini hari ini.
Beliau berkata tujuan utama Exco dilantik menjadi ahli lembaga pengarah bagi membantu dan mempercepatkan proses perhubungan antara Pelabuhan Klang dan kerajaan negeri.
“Kita tidak fikir bahawa Pihak Lembaga Pelabuhan Klang akan mendapat kerugian daripada kemasukan ahli Exco kerajaan negeri,” katanya yang menyifatkan tindakan pengerusinya tidak profesional kerana sebelum ini beliau pernah membuat kenyataan memberi jaminan untuk menerima cadangan daripada kerajaan negeri.
Jelas Abdul Khalid kepada pemberita selepas melancarkan laman web SPIES Negeri Selangor, di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dekat sini, petang tadi.
Menurutnya, walaupun Pelabuhan Klang berada dalam kuasa Kementarian Pengangkutan Malaysia namun operasinya 100 peratus berada dalam negeri ini.
“Kemasukan ahli Exco kerajaan negeri dalam ahli Pelabuhan Klang ini dapat menolong kita mempercepatkan proses memahami bagaimana perancangan dan pembangunan dapat dilakukan”, katanya.
Menurut Abdul Khalid Khalid dengan cara itu usahasama yang erat dapat dibentuk selain perbincangan lebih mantap dan bermakna.
“Saya berharap, ini harus diperbaiki dari segi sikap untuk bekerjasama dalam satu usaha untuk membangunkan mana-mana institusi terutama Pelabuhan Klang merupakan pelabuhan yang terbesar di negara ini”,katanya.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Abdul Khalid turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri sudah mewartakan kawasan Sungai Klang di sepanjang pesisir sungai sebagai satu usaha untuk terancang kerajaan negeri untuk membersihkan kawasan tersebut.
“Sekarang pembangunan yang ingin dilakukan perlu mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri dan pada dasarnya Selangor tidak lagi memberikan kelulusan sehingga program pembersihan sungai Klang ini dapat dilaksanakan,” katanya. - MURIZA ABDUL HAMID







