Notis Ditarik Balik Jika MBPJ dan IKRAM Sahkan Selamat

Wednesday, 10 June 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 10 Jun – Kerajaan negeri mungkin menarik balik notis merobohkan sisa runtuhan bangunan Jaya Supermarket sehingga Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mengesahkan kaedah kerja perobohan itu selamat.

Demikian kata Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan adanya permohonan daripada pemilik bangunan Jaya Supermarket yang meminta notis itu ditarik balik kerana pihaknya mahu membersihkan sisa runtuhan serta merobohkan dinding setinggi 19 meter yang masih tinggal selepas kejadian bangunan runtuh pada 28 Mei lalu.

“Kita sedar permohonan ini adalah untuk memastikan keselamatan penduduk serta orang ramai di kawasan berkenaan namun Kerajaan Negeri tidak boleh menarik balik notis tanpa perancangan yang kemas”, katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web SPIES Negeri Selangor, di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dekat sini, petang tadi.

Justeru katanya, kerajaan negeri sudah mengarahkan MBPJ mendapatkan maklumat yang terperinci dari Syarikat Jaya Section Fourteen Sdn Bhd dan semua pakar runding yang terlibat berkenaan kaedah kerja perobohan yang dirancang untuk merobohkan sisa bangunan tersebut.

Kata Abdul Khalid, MBPJ juga sudah memaklumkan bahawa perbincangan bersama pemilik Jaya Supermarket, pakar perunding dan IKRAM bakal bermula petang ini.

“Kita harap satu keputusan boleh dibuat secepat mungkin supaya penduduk yang diarahkan berpindah dapat kembali ke kediaman masing-masing”, katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk terus meneliti serta memantau semula sebarang projek-projek yang sedang dijalankan oleh enam syarikat yang disenaraihitamkan bagi memastikan keselamatan projek-projek berkenaan terjamin.

Enam syarikat yang disenaraihitamkan dan dihalang daripada pembangunan projek akan datang ialah Jaya Section Fourteen Sdn Bhd (Pemilik tanah dan pemaju), DP Architects Sdn Bhd (Pihak mengemukakan permohonan pelan projek), Meinhardht (M) Sdn Bhd (Jurutera), Pembinaan CW Yap Sdn Bhd (Kontraktor), Jurutera Perunding Sdn Bhd (Jurutera Kontraktor) dan DLS Management (Pengurus Projek).

- MURIZA ABDUL HAMID