Selangor Wujud Pusat Aduan Pengurusan Sisa Pepejal
Tuesday, 27 December 2011 | Ruangan: BeritaKUALA SELANGOR 27 DISEMBER : Sebuah pusat aduan mengenai pengurusan sisa pepejal di Selangor akan diwujudkan mulai tahun depan bagi memastikan sebarang aduan yang membabitkan sisa pepejal di atasi segera, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Abdul Khalid berkata, melalui inisiatif itu, orang ramai boleh membuat aduan melalui talian bebas tol.
“Projek perintis kini dilaksanakan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya,” katanya selepas meninjau program Jom Shopping membabitkan warga emas di pasar raya Econsave Alam Perdana baharu-baharu ini
Abdul Khalid mengulas, rungutan di kalangan rakyat Selangor berhubung masalah sampah tidak diangkat mengikut jadual di sesetengah kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu.
“Kita akan adakan pusat aduan bebas… jika ada orang hendak mengemukakan aduan, dia akan membuat aduan ke pusat tersebut.
“Dengan itu kita tahu berapa peratus peningkatan aduan, berapa peratus dapat diselesaikan,” katanya sambil menambah pusat itu akan dikendalikan sebuah unit khas di bawah kerajaan negeri dan beberapa kakitangan PBT akan diserap ke unit tersebut.

