Selangor Atasi Masalah Sungai Klang
Monday, 18 May 2009 | Ruangan: Berita
Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada perasmian Karnival Mesra Perpaduan Rakyat di Taman Setia, Klang. - Foto M.SAHRULNIZAM M.ZAIN
KLANG, 17 Mei – Kerajaan Negeri Selangor bakal mengisytiharkan program membesarkan dan membaikpulih Sungai Klang pada Jun ini bagi mengatasi masalah banjir dan pencemaran sungai di Lembah Klang.
“Program ini sudah diumumkan dan sudah diterima untuk pelaksanaan sekarang adalah proses pelaksanaan kita berharap pelaksanaan ini dapat dilakukan.
“Buat masa ini kita menentukan lokasi yang hendak dilaksanakan selepas itu kita membuat perbincangan dengan mereka yang berminat untuk menyertai menjadi kontraktor bagi program-program tersebut”, demikian kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui media pada majlis perasmian Karnival Mesra Perpaduan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda di sini pagi tadi.
Katanya masalah sungai dan tanah dikelolakan kerajaan negeri, oleh kerana itu program ini seharusnya dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan sekaligus menyokong program kerajaan Negeri Selangor dalam usaha-usaha pembersihan sungai dan alam sekitar.
Sehubungan itu, Khalid bersama Eksko Selangor dijangka mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada Isnin, 18 Mei ini bertujuan untuk mengenalpasti kaedah-kaedah pembersihan sungai yang sesuai dipraktikkan pada program pembesaran dan pemulihan Sungai Klang di Selangor.- M.SAHRULNIZAM M.ZAIN



