Tragedi Tanah Runtuh : Sultan Selangor Lawat Tempat Kejadian
Monday, 23 May 2011 | Ruangan: Berita
KAJANG 23 Mei - Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat kira-kira pukul 10.40 pagi Isnin tadi.
Baginda kemudiannya diberi taklimat oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berhubung tragedi yang meragut 16 nyawa pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun sembilan lagi mangsa yang turut tertimbus dalam runtuhan berkenaan berjaya diselamatkan.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu, seramai 25 orang termasuk penghuni, penuntut, warden dan kakitangan rumah anak yatim berkenaan sedang menjalankan latihan persembahan nasyid di bawah sebuah khemah yang dibina bersebelahan bangunan.
Pada majlis yang sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM217,000 kepada 53 mangsa tanah runtuh dan rumah anak-anak yatim berkenaan.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM100,000 disalurkan kepada Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat.
Selain itu waris kepada 16 mangsa yang terkorban turut menerima RM5,000 manakala RM1,000 seorang diberikan kepada 37 mangsa yang terselamat.
Dalam pada itu baginda turut berkenan menyampaikan bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM80,000 kepada 16 waris mangsa yang terkorban.

Gambar ini diambil sebelum kejadian tanah runtuh pada Sabtu lepas yang diperolehi daripada sumber Internet

