Sewa Tapak Pasar Pagi dan Pasar Malam Dikurangkan
Wednesday, 01 April 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 1 April – Kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini membuat keputusan untuk menurunkan kadar bayaran tapak untuk peniaga pasar pagi dan pasar malam bermula 8 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata kerajaan negeri bersetuju untuk menurunkan RM1 bagi setiap petak.
Ini bermakna kadar bayaran sepetak RM5 sebelum ini dikurangkan kepada RM4 sepetak.
Biasanya peniaga menyewa satu petak dan jumlah maksimum petak yang dibenarkan ialah tiga.
Menurut Ronnie, pengurangan sebanyak 25 peratus yang dibuat kerajaan negeri itu adalah bagi meringankan beban yang ditanggung peniaga kecil berikutan situasi kegawatan ekonomi ketika ini.
Di samping itu juga, peniaga mampu menarik nafas lega apabila kerajaan negeri turut mengumumkan yang tiada bayaran tapak akan dikenakan sekiranya hari hujan.
“Kita memahami bebanan yang ditanggung mereka dan kerajaan negeri membuat keputusan memberi bantuan kepada penjaja dalam masa yang gawat ini memandangkan bisnes mereka semakin berkurangan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata selain golongan penjaja, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen dan Persatuan Penjaja turut meminta agar kadar bayaran itu dikurangkan.
Kerajaan negeri katanya, tidak dapat membuat pengurangan yang lebih banyak memandangkan perlu menanggung kos pembersihan tapak pasar pagi dan pasar malam.
Katanya lagi, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga turut mempersetujui pengurangan berkenaan dan akan dimaklumkan mengenai kelulusan ini.
Tambah Ronnie, arahan pengurangan pembayaran itu akan berkuatkuasa Rabu hadapan setelah ia disahkan dalam mesyuarat MMKN. – NOOR ALLIA KASSIM

