PNSB Sumbang RM5.1j Kepada Balkis

Tuesday, 24 March 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 24 Mac – Pendengaran Awam Terbuka membabitkan isu Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) pagi  ini diberitahu yang Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah menyumbang sejumlah RM5,186,588.20 kepada badan itu dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datin Khairiyah Abu Hassan ketika memberitahu Jawatankuasa Pilihan Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mengakui jumlah sumbangan itu adalah dari tahun 2002 hingga 2007.

Katanya, pada 2002 PNSB telah menyumbang sebanyak RM739,029.80, diikuti pada 2003 sebanyak RM1,647,477.87, 2004 (RM460,930.35), 2005 (RM439,875), 2006 (RM924,024.18) dan 2007 (RM975,220.97).

Dengan angka yang sebegitu besar, Teng mempersoalkan apakah asas PNSB untuk membuat penajaan purata sebanyak RM864,431.37 setahun kepada Balkis.

Teng seterusnya mempersoalkan mengapa Balkis diberi peruntukan hampir RM1 juta setiap tahun.

“PNSB memperuntukkan RM1 juta setiap tahun sejak 2002 untuk program-program Balkis,” kata Khairiyah.

“Apa begitu istimewanya Balkis sehingga PNSB memperuntukkan RM1 juta kepada Balkis dan pada 2003 membelanjakan lebih daripada peruntukan tersebut?,” soal Teng.

“Seperti mana yang saya maklumkan, program yang melibatkan peruntukan besar adalah program yang melibatkan kerjasama Balkis, kerajaan negeri serta PNSB.

“Apabila melibatkan kerajaan negeri kita mahu imej kerajaan negeri diterjemahkan dalam imej yang baik. PNSB dapat profit dari kerajaan negeri jadi kita rasa menjadi tugas kita membalasnya kepada kerajaan negeri melalui usaha-usaha sebegini balik semula kepada rakyat,” kata Khairiyah. – NOOR ALLIA KASSIM