MB Failkan Saman Terhadap Mohd Nazree
Tuesday, 24 March 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 24 Mac – Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Pengerusi Sementara Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) Mohd Nazree Mohd Yunus yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ke atasnya.
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini, pagi tadi melalui peguamnya, Sankara N Nair dari Tetuan S N Nair & Partners dengan menamakan Mohd Nazree sebagai defendan.
Dalam writ saman itu, Abdul Khalid mendakwa dirinya difitnah ekoran kenyataan akhbar yang dibuat Mohd Nazree pada 21 Januari 2009, bertajuk ‘Amalan Rasuah dan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor’ dan ‘Laporan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor’ pada 3 Februari 2009 berhubung pengagihan lembu korban dan juga juga penyalahgunaan wang kerajaan untuk membiayai kereta peribadi.
Saman itu dikemukakan Abdul Khalid berhubung ekoran perkataan yang didakwa memfitnahnya berhubung pengagihan lembu korban dan juga penyalahgunaan wang kerajaan untuk membiayai kereta peribadi miliknya.
Abdul Khalid mendakwa, kenyataan akhbar yang menurutnya mengandungi perkataan fitnah dan intipatinya telah diterbitkan oleh media tempatan dan antarabangsa.
Berikutan penerbitan itu juga, beliau mendakwa reputasi beliau secara peribadi dan juga penjawat awam terjejas terutamanya kedudukan rasmi beliau sebagai Menteri Besar, Ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.
Lantaran itu, beliau menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah menghalang defendan daripada melafazkan, bercakap, menulis atau menerbitkan artikel perkataan yang memfitnahnya.
Dalam pernyataan tuntutan hari ini, beliau bagaimanapun tidak menyatakan berapakah jumlah pampasan yang diminta.
Terdahulu pada 18 Februari lalu, Abdul Khalid turut memfailkan dua saman fitnah di mahkamah yang sama terhadap Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo berhubung isu pembelian kereta Lexus dan pembelian 46 ekor lembu korban. – MURIZA ABDUL HAMID




Saya amat menyokong tindakan yang diambil oleh Yab Menteri Besar terhadap Pengerusi Gerak sementara, supaya ianya menjadi pengajaran terhadapnya,kalau benar-benar ikhlas nak memperjuangkan untuk menghapuskan rasuah siasat dan bawalah kes-kes rasuah yang membabitkan organisasi yang lebih besar seperti UMNO,banyak kes-kes rasuah yang kita dengar pergilah siasat dan bawalah ketengah, janganlah nak jadi hero disebelah pihak sahaja,janganlah nak cari publisiti, kalau itulah nawaitu nya saya syorkan supaya GERAK dibubarkan dan saudara Nazree carilah kerja yang lebih berfaedah,itu lebih baik daripada kita menjadi tunggangan disebelah pihak.terima kasih, Mohd Ali Bakri.