Sultan Selangor Rasmi Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri

Monday, 09 March 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 9 Mac – Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor 1430H  hari ini dirasmikan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Sambutan yang diadakan pagi tadi dimulakan dengan perarakan 4,635 orang dari Stadium Mini Shah Alam, Seksyen 13 dan berakhir di Stadium Malawati diketuai Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Acara perarakan tahun ini disertai 103 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, badan berkanun, swasta, institusi pengajian tinggi serta institusi masjid.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ramli Mahmud dalam ucapannya berkata sambutan seperti itu harus terus dijadikan asas bagi mempertingkatkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dengan melaksanakan segala perintah yang telah disampaikan selama ini.

“Kita perlu terus  memberi pengiktirafan  bahawa akhlak  yang mulia yang ditunjukkan kepada seluruh umat  merupakan ikutan sebenar yang perlu dicontohi bagi mencapai  kehidupan yang diredhai Allah SWT,” katanya.

Dalam majlis yang sama Sultan Selangor turut berkenaan melancarkan Bulan Dakwah Peringkat Negeri Selangor yang mana ia telah pun dirasmikan  di peringkat persekutuan baru-baru ini.

“Sempena bulan dakwah ini kerajaan negeri telah  merancang beberapa aktiviti terutama  bagi mencapai  tujuan sambutan bulan dakwah dan apa yang diharapkan kepada semua peringkat agar dapat  turut sama menghadiri  program-program yang dirancang,” kata Ramli.

Sementara itu, Anugerah Maulidur Rasul tahun ini menyediakan lima anugerah khas iaitu Anugerah Saidina Ali kepada Muhammad Ahmad Zahid, Anugerah Saidatina Khadijah kepada Khalijah Mohd Salleh, Anugerah Umar Bin Abdul Aziz kepada Tan Sri Dato’ Setia Amrin Buang.

Manakala Anugerah Imam Al- Ghazali kepada Safwan Fathy @ Mohammad Banon Railan dan Anugerah Khalid Al-Walid kepada Dato’Azman Rosli.

Setiap penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM10,000, piala iringan, sepersalinan pakaian dan sijil penghargaan.

Turut menerima penghargaan, pemenang Kontinjen Perarakan Terbaik serta Sepanduk Perarakan Terbaik daripada pelbagai kategori.

Hadiah-hadiah disampaikan Sultan Sharafuddin. – MURIZA ABDUL HAMID