Isu S.Manikavasagam Akan Dibincang Dalam Mesyuarat Parti
Sunday, 28 December 2008 | Ruangan: BeritaPETALING JAYA, 27 Disember – Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata keputusan untuk menerima atau meminta Ahli Parlimen Kapar, S.Manikavasagam menimbang semula keputusannya yang mahu keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang diumumkannya semalam akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.
Menurut Abdul Khalid, sebagai seorang yang sudah matang, Manikavasagam mampu membuat keputusan yang baik dalam mewakili pengundi di kawasan beliau.
“Sebagai seorang yang mempunyai tanggungjawab kepada kawasan beliau dan kepada parti, jadi cara yang sebaiknya dia boleh berjumpa dengan kepimpinan parti.
“…kepimpinan mempunyai beberapa disiplin dalam menyelesaikan masalah dalaman, masalah negeri dan masalah antara parti,” katanya ketika ditanya media sama ada akan melakukan pertemuan dengan ahli parlimen berkenaan.
Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perayaan Hari Natal dan Tahun Baru di The Curve dekat sini malam ini.
Ditanya sama ada keputusan dibuat Manikavasagam itu berhubung kait dengan masalah dalaman parti, beliau berkata selama ini PKR menyediakan platform untuknya bersuara melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti.
Beliau turut ditanya mengenai kedudukan kawasan parlimen itu setelah Manikavasagam membuat keputusan berkenaan.
Menurut Abdul Khalid adalah lebih baik pada masa ini sebarang keputusan mengenai isu itu dibincangkan secara terperinci melalui biro politik parti daripada berforum di media.
Tambahnya, perbezaan pendapat dalam parti politik bukanlah sesuatu yang luar biasa atau perkara aneh kerana apa yang penting mereka perlu memperjuangkan hak rakyat.
Sementara itu, lebih 8,000 orang membanjiri pusat beli belah The Curve dekat sini pada Majlis Perayaan Hari Natal dan Tahun Baru anjuran kerajaan negeri Selangor.
Antara yang hadir isteri Dato’ Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor. – NOOR ALLIA KASSIM


