‘Batalkan Perjanjian Penyerahan Hak Tanah’

Thursday, 29 January 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 29 Januari – Kerajaan negeri mahupun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak mempunyai hak meneruskan pembangunan di Bukit Botak memandangkan penduduk terikat dengan perjanjian yang ditandatangani dengan pemaju terdahulu, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Dato’ Menteri Besar hari ini.

Kerajaan negeri bagaimanapun, sedia membantu penduduk yang terlibat dengan projek penempatan semula setinggan ke Taman Selayang Mutiara itu sekiranya mereka memperolehi semula hak tanah yang diberikan kepada pemaju, Delpuri Corporation Sdn Bhd (DCSB).

“Pertolongan yang wajar boleh dibuat sekiranya penduduk mendapat balik hak terhadap tanah dengan membatalkan surat kuasa wakil yang ditandatangani di antara penduduk dengan DCSB” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, DCSB dilantik oleh kerajaan terdahulu sebagai kontraktor pada 1999 untuk membangun dan menyusun semula penempatan setinggan Bukit Botak ke Taman Selayang Mutiara.

Syarikat berkenaan dikehendaki menyediakan rumah transit atau memberi subsidi sewa sebanyak RM300 kepada penduduk yang diminta mengosongkan tapak projek sehingga rumah mereka siap dibina.

Sebagai balasan kepada usaha pembangunan itu, penduduk telah menyerahkan hak ke atas tanah melalui surat kuasa wakil kepada pemaju berkenaan.

Namun, projek penempatan semula membabitkan seramai 1,400 pemilik tanah di kawasan berkeluasan 138 ekar itu tidak dapat diteruskan DCSB.

PKNS kemudiannya diminta oleh kerajaan lalu untuk mengambil alih projek berkenaan.

Isu berkaitan projek ini timbul apabila mesyuarat Lembaga Pengarah PKNS baru-baru ini membuat keputusan menghentikan kerja-kerja pembinaan di tapak selain menamatkan pemberian sewa sehingga Oktober tahun lalu.

Keputusan itu dibuat memandangkan PKNS tidak mampu menanggung kos kerugian sebanyak RM140 juta jika projek itu diteruskan.

“Walaupun kerajaan negeri mengambil berat tentang kesusahan yang dialami oleh rakyat tetapi adalah tidak wajar untuk meletakkan beban keseluruhan kepada PKNS disebabkan kerajaan terdahulu tidak dapat memantau projek-projek ini dengan baik.

“Tambahan pula DCSB dibenarkan lepas tangan dalam hal ini”.

Walaupun hasrat membantu penduduk terhalang ekoran hak tanah masih dimiliki DCSB, kerajaan negeri menyatakan kesediaan untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih konkrit jika pembatalan perjanjian antara penduduk dengan syarikat itu dapat dilaksanakan. – NOOR ALLIA KASSIM