Kerajaan Negeri Kesal Institusi Diraja Dilibatkan Dalam Isu Derma Lembu
Wednesday, 28 January 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 28 Januari – Kerajaan negeri dalam satu kenyataan hari ini kesal dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang melibatkan institusi diraja Selangor dalam isu derma lembu korban.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar, tindakan yang melibatkan pihak istana dengan isu itu adalah sesuatu yang tidak wajar.
“Perkara ini telah dibawa ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka biarlah SPRM menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) serta konco-konconya dilihat tidak ikhlas dalam memperjuangkan isu itu dengan mengaitkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Mereka juga dilihat seolah-olah membuat kenyataan bagi pihak Tuanku.
Ketua pembangkang Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula diseru agar lebih bersikap profesional dan mempunyai sokongan fakta yang jelas dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Beliau sebagai ketua pembangkang mempunyai saluran tersendiri seperti di dalam Dewan Undangan Negeri yang akan bersidang pada bulan Mac nanti.
“Oleh itu gunakanlah saluran itu dengan sebaik-baiknya dalam mengeluarkan sebarang kenyataan”. – NOOR ALLIA KASSIM

