Perutusan Tahun Baharu 2009 Dato’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Thursday, 01 January 2009 | Ruangan: Berita

Tahun 2008 yang baru berlalu memutikkan sinar dan harapan baharu terhadap tali perpaduan bagi tiga parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat.

Usaha, kerjasama dan ketekunan yang kami tunjukkan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu bukan sahaja mengejutkan rakyat di seluruh negara. Ia bahkan memeranjatkan negara-negara jiran dan bahagian lain di dunia apabila gabungan kami berjaya menguasai lima negeri termasuk Selangor, negeri termaju di Malaysia.

Sejak 9 Mac 2008, perjalanan Pakatan Rakyat dipenuhi ranjau dan liku yang cabaran utamanya menuntut kecekapan kami mentadbir kerajaan negeri beserta agensi dan jabatan awamnya di samping membina jalinan perhubungan dan kerjasama dengan pihak sektor swasta.

Dalam hubungan ini, kerajaan baharu Pakatan Rakyat di Selangor menghadapi tugas berat dalam usaha menyesuaikan dasar dan falsafah masing-masing ke dalam suatu mekanisme yang menyerlahkan kesepaduan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Hal ini bermakna kita hendak mengubah budaya 51 tahun lalu supaya kerajaan negeri Selangor kini menjadi lebih telus, cekap dan bertanggungjawab.

Dalam masa sama kami berusaha membetulkan salah guna kuasa dan harta negeri oleh sebahagian pengurus dalam kerajaan terdahulu yang kononnya ‘adil dan bersih’ yang dilihat betul daripada aspek perundangan tetapi ternyata salah daripada aspek moral lantaran ia hanya memberi kesempatan kepada segelintir orang terpilih bagi menikmati kekayaan negeri.

Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran ini memberikan kami kesempatan bagi memahami dan menilai sumber negeri dan seterusnya merumuskan visi baharu Selangor yang antaranya mengenalkan konsep ‘Merakyatkan ekonomi Selangor’. Konsep ini merangkumi program pemberian air percuma kepada rakyat, pertimbangan penambahan cuti bersalin dan memberikan pelbagai bantuan dana seperti Tabung Warisan Anak Selangor, Orang Kurang Upaya, Ibu Tunggal, Takaful Warga Emas, dan Tabung Anak-anak Pekerja Ladang.

Pelbagai program seumpama yang disediakan bukan sebagai kebajikan kepada rakyat semata-mata sebaliknya melampaui maksud yang menggambarkan suatu perubahan paradigma dalam pentadbiran negeri Selangor yang lebih telus, cekap dan bertanggungjawab. Pada hakikatnya, usaha ini mampu mengukuhkan gagasan dalam usaha memanfaatkan rakyat seluruhnya.

Dengan yang demikian, kita semua – baik barisan kepimpinan Pakatan Rakyat mahupun rakyat pelbagai kaum di Selangor khususnya – kini menaruh harapan agar negeri ini terus maju dan sejahtera sepanjang Tahun Masihi 2009 dan Tahun Hijrah 1430.

Namun begitu, masa hadapan ekonomi negeri Selangor tetap bergantung pada keadaan ekonomi negara dan dunia. Tidak dinafikan lagi, kelembapan ekonomi dunia sekarang turut menjejaskan perkembangan industri pembuatan dan perkilangan di Selangor.

Bagi kita cabaran sekarang untuk mencari cara mengurangi kesan kemelesetan ekonomi dunia. Inilah masanya bagi kita memahami keadaan turun naik ekonomi yang memberi kesempatan kepada kita bagi memastikan agar setiap ringgit dibelanjakan secara berhemat dan berhemah.

Inilah masanya untuk menterjemah sumber negeri yang terhad ke dalam usaha memberikan nilai perkhidmatan dan kontrak yang berpatutan. Cabaran lain yang kita hadapi termasuklah usaha bagi memastikan agar keinginan orang ramai tidak bersifat negatif dalam waktu kemelesetan ini. Waktu kelembapan ekonomi ini diharap tidak mendatangkan malapetaka yang hanya diratapi sebaliknya menganggap ia suatu cabaran yang dapat memotivasi diri kita untuk membaiki aras produktiviti.

Dalam hubungan ini, golongan belia kita harus bertindak sebagai penerima utama cabaran tersebut. Mungkin banyak peluang bagi mereka dibatasi oleh keadaan turun naik ekonomi sekarang tetapi dengan kemahiran, keazaman dan ketekunan, golongan belia pasti mampu menempuh waktu-waktu duka begini.

Bagi golongan miskin, kerajaan negeri boleh terus menghulur bantuan kepada mereka untuk menghadapi kitaran ganas ekonomi dengan menyediakan peluang-peluang membaiki kehidupan.

Di samping itu, sekarang merupakan masa bagi kita menyediakan perkhidmatan kepada golongan lebih tua supaya mereka bukan sahaja terus menikmati keselesaan hidup sebaliknya mampu menyumbang tenaga dan fikiran terhadap komuniti.

Inilah masa bagi golongan petani kita menambah hasil bagi mengurangi beban bergantung pada makanan import, sebaliknya memainkan peranan lebih besar dalam usaha menyediakan bekalan makanan kepada bahagian dunia lainnya.

Inilah masanya bagi universiti-universiti kita memajukan dapatan baharu dan mengatasi masalah dalam hal memartabatkan kedudukan Malaysia dalam bidang sains dan teknologi. Inilah masanya agar kalangan ahli akademik, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan memberikan sumbangan terbaik mereka bukan mengharapkan ganjaran dan pangkat semata-mata sebaliknya tanggungjawab mereka melakukan tugas masing-masing dengan ikhlas, jujur dan dedikasi.

Inilah juga masanya bagi kita untuk menunjukkan bentuk nasionalisme baharu kepada negeri Selangor dan Malaysia, iaitu mengutamakan kepentingan orang lain melebihi keperluan diri sendiri.

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430 dan Selamat Tahun Baharu 2009!

Layari video Perutusan Tahun Baharu 2009 Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di www.selangor.gov.my