Murid Miskin Sekitar Rawang Terima Bantuan Kasut Sekolah
Saturday, 03 January 2009 | Ruangan: BeritaRAWANG, 2 Januari – Sebanyak lapan buah sekolah rendah di kawasan dewan undangan negeri (Dun) Rawang hari ini menerima bantuan persekolahan bagi memulakan penggal baru sesi 2009, Isnin ini.
Bantuan berbentuk kupon kasut Bata itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei kepada guru dan juga pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dalam satu majlis yang diadakan di pejabatnya, di sini, pagi tadi.
Antara sekolah yang terpilih menerima bantuan tersebut ialah SK Rawang (58), SK Taman Desa (20), SK Bukit Rawang Jaya (25), SK Taman Desa 2 (47), SK Bandar Baru Rawang (21), SK Sinaran Budi (132), SJK (C) San Yuk (139) dan SJK (T) Rawang(107).
Gan ketika dihubungi berkata sebanyak 549 kupon percuma itu diagihkan hari ini di mana enam buah sekolah rendah kebangsaan, sebuah sekolah tamil dan sebuah sekolah Cina sekitar Rawang menerima bantuan tersebut.
“Sementara baki 151 lagi kita akan serahkan kemudian kepada persatuan penduduk, ketua kampung dan kes-kes kebajikan pejabat Adun Rawang melalui ketua kampung kawasan masing-masing,” katanya.
Menurutnya, murid yang menerima bantuan berkenaan hari ini boleh menukar kupon kasut percuma di mana-mana cawangan Bata berdekatan di sini sebelum 31 Januari 2009.
“Memandangkan jumlah baucer yang terhad (700 sahaja), kita hanya edarkan kepada murid sekolah rendah sahaja. Namun begitu, jika ada pelajar miskin dari sekolah menengah yang memerlukan bantuan, kita sedia membantu dengan menggunakan wang peruntukan Adun,” katanya yang mahu program bantuan persekolahan seumpama itu dijadikan program tahunan. – MURIZA ABDUL HAMID


