13 ADUN sokong Azmin tanding Timbalan Presiden PKR

Tuesday, 07 September 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 7 Sept – Seramai 13 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Keadilan Rakyat di Selangor dan Negeri Sembilan hari ini menyatakan sokongan kepada naib presidennya Azmin Ali untuk bertanding Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu Oktober ini.
ADUN Selangor kawasan Kota Anggerik, Yaakob Sapari yang mewakili kumpulan wakil rakyat itu berkata, Azmin merupakan pemimpin paling layak menduduki kerusi nombor dua dalam parti itu kerana telah lama bersama dengan parti itu.
“Kami yakin Azmin calon yang terbaik kerana tabah dan pasrah ketika berjuang dalam wadah PKR dan menempuh pelbagai cabaran termasuk difitnah ahli keluarga sendiri,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Selain Yaakob, ADUN Selangor yang turut menyokong Azmin ialah Dr Xavier Jayakumar (Andalas), Rodziah Ismail (Batu Tiga), Shuhaimi Shafie (Sri Muda), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Lee Kim Sin (Kajang), Amirudin Shaari (Batu Caves), Gan Pei Nei (Rawang) dan Haniza Talha (Taman Medan) manakala ADUN dari
Negeri Sembilan pula ialah Aminudin Harun (Sikamat), Rashid Latif (Ampangan), M. Ravi (Port Dickson) dan Chai Tong Chai (Lukut).
Ditanya sama ada sokongan mereka itu merupakan cubaan menolak pencalonan Datuk Zaid Ibrahim bagi jawatan itu, Yaakob menafikannya sebaliknya berkata ia hanyalah proses demokrasi yang didukung PKR.
Jawatan Timbalan Presiden PKR disandang oleh Dr Syed Husin Ali. – BERNAMA