Cetus persepsi negatif terhadap Islam
Friday, 03 September 2010 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 3 Sept – Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) kesal dengan tindakan Pergerakan Pemuda UMNO Selangor yang secara terang-terangan mendedahkan kejahilan kepada masyarakat dalam isu bukan Islam dalam masjid.
Ketuanya, Hasbullah Ridzwan berkata, Hasbullah meminta Pemuda UMNO Selangor bersikap diam dan bertanya individu lebih arif mengenai urusan agama sebelum mempamerkan kejahilan mereka dengan meluas.
“Kami ingin bertanya kepada Pemuda UMNO, adakah mereka tahu bahawa Nabi Muhammad SAW seringkali menerima kunjungan dari tetamu bukan Islam di Masjid Nabawi? Adakah masjid dan surau di Malaysia lebih suci berbanding Masjid Nabawi hinggakan bukan islam tidak dibenarkan memasukinya? Siapa yang sedang mempolitikkan isu ini sekarang?
“Bahkan pernah berlaku satu peristiwa seorang tawanan perang diikat di tiang masjid, apakah tidak ada pokok-pokok kurma di sekitar Masjid Nabawi hinggakan tawanan tersebut diikat di tiang masjid? Tsumamah bin Utsaal akhirnya masuk Islam setelah melihat aktiviti umat Islam dalam masjid tersebut, sirah inilah yang gagal difahami UMNO,” katanya.
Hasbullah juga kesal apabila Ketua Penerangannya, Safarizul Mustafa, mendesak Pengerusi, Imam dan Ahli Jawatankuasa Surau Al-Huda dan Masjid At-Taqwa, Selayang Baru, Kajang yang menjemput dan membenarkan Ahli Parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching dan Ahli Parlimen Parti Pakatan Rakyat (PKR) Selayang, William Leong Jee Keen memberi ucapan di surau dan masjid tersebut dipecat.
Mereka juga diselar kerana mendesak Pejabat Menteri Besar, Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor memecat Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dengan alasan kononnya gagal pertahankan kesucian surau tersebut.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas Selangor, Zulkifli Ahmad, menasihatkan Safarizul merujuk isu itu kepada 40 ulama muda yang menyertai UMNO baru-baru ini sebelum bertindak mencemar kesucian dakwah Islam.
”Kami cabar Pemuda UMNO berdebat, muzakarah atau berwacana di pentas terbuka mengenai isu ini agar masyarakat dapat menilainya. Dan jika dalam tempoh 14 hari anda tidak menyahut cabaran ini, kami menganggap anda sengaja mempolitikkan agama,” katanya.

