Pemutihan kilang haram dilanjut

Friday, 03 September 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 3 Sept – Kerajaan Negeri memutuskan untuk melanjutkan tempoh Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran(PPKTK) di Selangor sehingga 30 Jun 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Tanpa Kebenaran, Ean Yong Hian Wah berkata, keputusan itu dibuat melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bersidang pada 25 Ogos lalu dan keputusan ini telah mendapat pengesahan kelmarin.

Katanya, ia bertujuan memberi masa yang lebih mencukupi kepada pengusaha kilang atau pemilik tanah bagi menjalani kerja-kerja permohonan menukar syarat nyata tanah serta Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan daripada pihak-pihak berkuasa berkaitan.

“Kerajaan Negeri membuat keputusan tersebut adalah berdasarkan permintaan dan harapan pelbagai pihak terutamanya pengusaha-pengusaha kilang yang menghadapi beberapa masalah termasuk masalah kewangan semasa membayar premium.

“Dengan pengumuman ini, pihak-pihak berkenaan dapat membuat kerja-kerja ‘pemutihan’ bagi kilang tanpa kebenaran seperti sebelum ini dan semua prosedur dan insentif rangsangan yang sedia ada adalah dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Oleh itu beliau menyeru pihak berkaitan mengambil peluang ‘memutihkan’ kilang mereka dengan segera.

“Kita akan memberikan bantuan sepenuhnya kepada mereka,” katanya.