Cyberview rai 123 anak yatim dan OKU
Thursday, 02 September 2010 | Ruangan: BeritaOleh: Mohd Sahrulnizam Mohd Zain
CYBERJAYA – Syarikat peneraju koridor raya multimedia (MSC) tempatan, Cyberview Sendirian Berhad selaku penyedia hub global di Cyberjaya tidak ketinggalan menyambut kedatangan Ramadan dengan pelbagai aktiviti kebajikan seiring tanggungjawab korporat sosial (CSR) kepada mereka yang tidak bernasib baik.
Baru-baru ini Cyberview meraikan seramai 123 anak-anak yatim termasuk orang kelainan upaya (OKU) dalam majlis berbuka puasa di Kelab Komuniti, Taman Tasik Cyberjaya dengan harapan membawa keceriaan dan kegembiraan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Terkenal dengan konsep bandar hijaunya, Cyberview sebelum ini mengguna pakai pendekatan lebih mesra dengan membawa anak-anak yatim dan OKU dari 5 rumah kebajikan terpilih di Selangor membeli-belah barang keperluan hari raya di Pasaraya Mydin, Subang dengan anggaran RM80 hingga RM100 setiap seorang.
Selain itu, setiap rumah kebajikan terbabit turut mendapat bantuan kewangan sebanyak RM6,000 bagi menampung keperluan dan kos operasi mereka.
Antaranya Rumah Anak Yatim Taman Baduri, Sepang; Rumah Amal Baitul Hidayah, Puchong; Rumah Anak Yatim Kota Warisan; Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Payung BBST dan PDK Rumah Penyayang Bukit Changgang.
Menurut Pengetua Pusat Jagaan Baitul Sakinah Wal Mahabbah, Kota Warisan Sepang, Fauziah Ngah, 41 tahun, pihaknya pada masa ini masih menunggu bantuan tetap daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Oleh kerana pusat kebajikan ini masih setahun jagung, maka pihaknya sangat mengharapkan mana-mana pihak menyumbang sedikit dana dan keperluan untuk pendidikan anak-anak yatim jagaannya.
Selain sumbangan orang ramai, pihaknya mengambil inisiatif mendirikan premis bakeri sebagai pusat aktiviti anak-anak yatim sekaligus dapat menjana pendapatan untuk menampung kos operasi dan keperluan rumah kebajikan sepanjang tahun.
“Terima kasih setinggi-tinggi penghargaan kerana ada syarikat korporat seperti Cyberview sudi menyumbang kepada aktiviti kebajikan. Baitul Sakinah merupakan rumah amal masih baru beroperasi dalam setahun lapan bulan, kami belum pernah mendapat tajaan besar sepertimana agensi ini.
“Kami kini menempatkan lebih 50 anak-anak yatim yang serba serbi daif dari segi keperluan khususnya pendidikan rendah dan mekanik, bilangan mereka pula ramai kira-kira 32 orang termasuk kategori anak yatim dan fakir miskin yang di bawah jagaan kami”, kata Fauziah kepada wartawan SelangorKini yang ditemui baru-baru ini.
Anak-anak yatim yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Cyberview rata-ratanya kelihatan ceria dan gembira kerana masih ada pihak yang mengambil berat dan sudi menghulurkan bantuan, lebih-lebih lagi menjelang lebaran nanti.
“Saya berasa gembira yang tidak terhingga kerana dijemput berbuka puasa dan dapat bantuan keperluan hari raya nanti. Tidak lupa saya ucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur yang sudi menghulurkan sumbangan kepada kami semua”, kata Muhammad Rafiq, 12 tahun.
Perasaan ini turut dikongsi bersama Anisah Layyinah Izamuddin, 11 tahun yang saban tahun diraikan oleh pihak yang prihatin kepada nasib mereka, meskipun masih muda namun setiap kali tibanya hari raya, hatinya sayu mengenang pemergian insan yang disayanginya.
“Terima kasih kepada syarikat Cyberview kerana telah memberikan sumbangan baju raya kepada saya dan rakan-rakan lain di rumah kebajikan ini”, katanya.

