Pelajar Cemerlang Terima Biasiswa Galakan Mais
Friday, 23 January 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 23 Januari – Seramai 2,163 orang pelajar cemerlang tahun 2007 bagi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Selangor dan Maahad Integrasi Tahfiz Istana Banda (MITIB), Jugra hari ini menerima biasiswa galakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Setiap pelajar berkenaan menerima biasiswa sebanyak RM360 setahun membabitkan peruntukan berjumlah RM778,680.
Majlis penyampaian biasiswa itu disempurnakan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Haji Mohammed Khusrin Munawi.
Sekolah Agama Menengah Bestari, USJ 5 Subang Jaya muncul sekolah yang menerima jumlah tertinggi apabila 418 orang pelajarnya menerima biasiswa keseluruhannya sebanyak RM150,480.
Ini diikuti Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Kampung Jawa Klang sebanyak RM111,240 membabitkan 309 pelajar dan 164 orang di Sekolah Agama Menengah Batu 10, Hulu Langat dengan jumlah biasiswa sebanyak RM59,040.
Biasiswa Galakan Mais yang diwujudkan pada 2003 ini diberikan kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) dengan mendapat markah 90 peratus ke atas, Penilaian Menengah Rendah (PMR), minima 7A, Sijil Menengah Agama (SMA), 75 peratus ke atas, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 7A, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), minima 2P dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), mendapat keputusan Jayyid Jiddan. – NOOR ALLIA KASSIM

Dato' Mohammed Khusrin menyampaikan cek biasiswa kepada wakil SABK dan MITIB. - Foto JAIS

