Hotel De Palma bertaraf syariah pertama di rantau Asia

Thursday, 02 September 2010 | Ruangan: Berita

Oleh: MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

AMPANG, 2 Ogos  – Usaha dakwah tidak terhad kepada institusi agama seperti masjid dan surau semata-mata malah kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman serta taat kepada Allah boleh dilaksanakan di mana sahaja termasuk di hotel, bersesuaian dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islam.

Pelbagai kaedah dan pendekatan cuba dilakukan bagi memastikan usaha dakwah ini berkesan kepada kumpulan sasar baik konvensional mahupun kecanggihan teknologi maklumat.

Namun berlainan pula pendekatan yang diguna pakai rangkaian Hotel De Palma milik sepenuhnya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mempraktikkan sepenuhnya garis panduan dan pematuhan syariah 100 peratus sejak 2008 lagi.

Menurut Pengurus Besar Hotel De Palma, Datuk Mohd Ilyas, pematuhan syariah bukan sekadar memenuhi kod operasi halal dari aspek pengurusan mahupun penyediaan makanan, namun lebih penting katanya adalah membina peribadi muslim termasuk pekerja dan pengunjung agar mematuhi syariat Allah.

“Hendak berdakwah tidak semestinya di masjid atau surau, sebaliknya di hotel juga kita boleh berdakwa untuk memastikan orang ramai memahami tentang Islam itu sendiri kerana kebanyakan hotel kini banyak aktiviti kurang sihat dan negatif, jadi kita mahu tukar pemikiran orang dan saya melihat bahawa Hotel De Palma ini sebagai pengasas hotel syariah supaya menjadi contoh dan ikutan kepada hotel-hotel lain, buat macam mana kita buat”, katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pembangunan PKNS, Md. Nasir Md. Arshad berkata, pihaknya sentiasa menambah baik perkhidmatan dan keperluan rangkaian hotel miliknya agar dapat memenuhi kehendak dan keselesaan pelanggan setiap tahun.

Di samping itu katanya De Palma boleh berbangga dengan pencapaian terkini sebagai hotel berciri syariah setelah memansuhkan penyediaan minuman beralkohol sekaligus cuba menukar tanggapan orang ramai bahawa sudah wujudnya hotel untuk aktiviti dakwah seperti ceramah dan kursus agama malah umat Islam juga boleh menunaikan solat Jumaat di sini.

“Dulu bila kita cakap Syariah saja, orang nampak macam sepi, tapi bila kita sudah laksanakan nampak sekarang ada sambutan yang baik daripada masyarakat Malaysia dan kita percaya bahawa Hotel De Palma hotel pertama di Malaysia dan di rantau Asia yang mengamalkan Syariah dalam perkhidmatannya malah diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)”, jelas Nasir yang ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa bersama kakitangannya di Hotel De Palma, Ampang baru-baru ini.

Selain itu pihaknya turut berhasrat mempromosikan pematuhan syariah ini kepada mana-mana hotel yang berminat bagi menggalakkan industri perhotelan negara ini mengikut jejak langkah De Palma seiring tuntutan agama dan memenuhi kehendak beribadat umat Islam.

“Kita mahu jadikan cawangan di Sepang sebagai pusat akademik syariah untuk melatih kakitangan dan kita juga buka kepada orang ramai bagaimana kita mentadbir hotel ini secara syariah, dan kita juga akan buka kepada kakitangan hotel-hotel yang lain sekiranya mereka berminat untuk mensyariahkan hotel-hotel yang ada ini, kita menjemput mereka datang ke Sepang nanti untuk mempelajari cara De Palma mensyariahkan hotel”, ujarnya.

Tambahnya bagi memastikan De Palma konsisten mengamalkan syariah dalam perkhidmatan hotel, satu panel syariah khas diwujudkan bagi memantau operasi hotel ini sentiasa berada di landasan yang betul. Antara panel yang mengganggotai jawatankuasa tersebut terdiri daripada pegawai Jabatan Hal Ehwal Keluarga JAIS, Amir Parman; imam masjid di seluruh Negeri Sembilan, Ustaz Takwidin dan Dr Ridwuan dari Universiti Malaya.

Dalam pada itu, transformasi De Palma sebagai hotel syariah mendapat sambutan yang positif daripada orang ramai termasuk pelanggan bukan beragama Islam yang tidak putus mengunjungi hotel ini.

“Dari segi orang ramai Alhamdulillah sambutannya agak baik dan kita juga telah mengalami pertumbuhan perniagaan dan kalau hendak dikira juga kedatangan orang asing yang bukan Islam masih mengunjungi hotel ini tanpa rasa segan silu, rasa pelik, was-was, tidak begitu, kerana mereka juga sedia maklum kalau hotel ini syariah, hotel ini halal, kebersihan dan segalanya itu berada di tahap yang lebih tinggi jadi kenapa mereka mahu risau?”, kata Ilyas lagi.

De Palma menyediakan kemudahan surau dan cawangan Ampang pula mendapat kebenaran menunaikan sembahyang Jumaat Surau.

Surau Nurul Hikmah yang berada di aras 3 hotel ini mampu menampung hampir 1,800 jemaah untuk satu-satu masa dan ini merupakan satu insiatif pengurusan dalam memastikan rangkaian kumpulan Hotel De Palma antara yang menjadi pilihan masyarakat Islam tempatan mahupun antarabangsa.

“Kita juga ada satu tingkat yang kita khususkan, kita membuat percubaan tingkat 6 di hotel ini adalah tingkat khusus untuk orang Islam saja, apa yang ada di situ apabila sampai di tingkat itu, kita lihat keluar dari lif Allah Muhammad, berjalan ke depan ada pintu kaabah, berjalan lagi segala ayat-ayat Quran di sekitar koridor-koridor, masuk dalam bilik pula ada Quran sebenar, selalu kita letak tafsir takut orang bukan Islam pegang, ada sejadah, ada telekung, tasbih, dan sebelum mereka berehat malam kita letak sepotong hadis atas bantal dengan harapan ada unsur dakwah yang kita bagi sedikit ini akan menggerakkan hati mereka mengorak langkah menjadi seorang muslim atau muslimah yang lebih baik”, katanya.