Isu perakam video: MB nafi rombak kakitangan lama di pejabatnya

Monday, 16 August 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 14 Ogos -  Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan ura-ura bahawa akan berlaku rombakan membabitkan kakitangan lama di pejabat beliau dalam usaha memastikan kejadian penemuan sebuah alat rakaman video yang disembunyikan dalam bilik pejabatnya tidak berulang.

 Beliau berkata sehingga kini, pihaknya belum ada perancangan ke arah itu
tetapi sebaliknya sedang menjalankan kajian untuk mengetahui bila perkara itu berlaku sehingga kakitangan di pejabat Menteri Besar tidak mengetahui tentang kejadian itu.
 

“Sekiranya kita dapati perkara ini dilakukan oleh mereka dalam pejabat
Menteri Besar sudah tentulah tindakan yang sesuai akan diambil. Buat masa ini kita tidak tahu lagi dan kita tidak ada sebarang keputusan untuk mengatakan mengenai perkara ini (rombakan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Dialog Bantuan Peruntukan Pembangunan Pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Selangor di sini hari ini.
 

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas ura-ura akan berlaku rombakan membabitkan kakitangan di pejabat Menteri Besar yang bertugas sejak pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi mengelakkan timbulnya isu konflik kesetiaan
 

Ini berikutan penemuan sebuah alat rakaman video pada Rabu lepas yang
disembunyikan di belakang langsir bilik pejabat Abdul Khalid dipercayai untuk
mengintip aktiviti harian beliau.

 Abdul Khalid menyedari kewujudan alat rakaman video itu apabila alat
berkenaan berbunyi sebagai isyarat bateri berkeadaan lemah.

 Beliau berkata pihaknya telah menjemput Ketua Polis Selangor Datuk Khalid
Abu Bakar untuk berbincang mengenai perkara itu selain mengadakan kerjasama
berhubung isu-isu keselamatan di Selangor pada mesyuarat exco kerajaan negeri
Rabu depan.

 ”Kajian yang telah dilakukan kita akan serahkan kepada ketua polis Selangor
semasa mesyuarat minggu depan kerana beliau adalah individu yang paling layak
untuk beri khidmat nasihat kepada kita berhubung isu keselamatan di negeri ini,”
katanya.

 Selain itu, Abdul Khalid berkata pihaknya juga akan mengadakan pemeriksaan
di pejabat-pejabat exco kerajaan negeri bagi memastikan kejadian yang sama tidak
berlaku.

 Sementara itu, beliau berkata tiada keperluan bagi mengheret anggota
Exconya, Ronnie Liu menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan,
Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bagi membolehkan siasatan berhubung
dakwaan penyalahgunaan kuasa seperti yang didesak oleh Timbalan Ketua Pemuda MCA
Klang Datuk Dr Ching Eu Boon.

 Beliau berpendapat cadangan itu tidak mempunyai apa-apa tujuan selain untuk
menambah lagi kerja pentadbiran dan sekiranya MCA ingin juga kes ini dibawa ke
Selcat mereka boleh berbincang dengan Speaker Dewan Negeri Tee Chang Khim sama
ada ia sesuai diadakan atau sebaliknya.

 Pada 31 Julai lepas, jawatankuasa disiplin DAP memecat bekas pembantu Liu,
Tee Beng Hock, yang ketika itu ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), kerana
mengeluarkan surat sokongan atas nama Liu bagi mengesyorkan supaya sebuah
kontrak diberikan kepada sebuah syarikat di mana anaknya merupakan seorang
pemegang saham.

 Liu bagaimanapun hanya diberi amaran keras oleh jawatankuasa itu dan
diingatkan supaya bertanggungjawab memastikan pejabatnya dalam keadaan teratur
serta mengamalkan ketelusan dan urus tadbir yang profesional bagi memenuhi
kehendak rakyat serta menjamin imej parti.- BERNAMA