Kerajaan Negeri Sangat Telus – Abdul Khalid
Friday, 23 January 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 23 Januari – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan kerajaan negeri bersikap sangat telus apabila dokumen yang didakwa sebagai bukti kononnya beliau mengarahkan pembelian 46 ekor lembu korban diterima ketua pembangkang, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
“Dia (Dr Khir) kata kerajaan negeri tidak telus tetapi kerajaan negeri sangat telus, sebab dia pun dapat dokumen itu,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan yang dibuat bekas menteri besar itu semalam.
“Saya tak tahu pula sama ada dokumen itu sah atau tidak tetapi kalau dia sudah dapat dari pejabat-pejabat negeri maknanya kerajaan negeri adalah telus,” katanya.
Ditanya komen beliau berhubung saranan ketua pembangkang itu yang mahu beliau mengosongkan kerusi menteri besar sehingga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai, beliau berkata tiada isu yang perlu dibangkitkan.
Abdul Khalid ditemui selepas menyaksikan penyerahan sumbangan untuk misi kemanusiaan ke Palestin yang disampaikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kepada Naib Pengerusi 3, Yayasan Amal Selangor, Dr Halimah Ali di Istana Bukit Kayangan pagi tadi.
Laporan akhbar hari ini menyebut yang Dr Mohamad Khir menerima kiriman bukti kononnya Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mengarahkan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd membiayai pembelian lembu korban berkenaan untuk diagih-agihkan di kawasan parlimennya.
Kelmarin, Abdul Khalid menegaskan bahawa dana kerajaan negeri tidak digunakan untuk pembelian itu sebaliknya lembu korban terbabit telah didermakan oleh enam anak syarikat dan syarikat bersekutu kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Difahamkan, syarikat-syarikat itu menaja peruntukan pembelian itu atas dasar tanggungjawab sosial korporat tanpa arahan daripada mana-mana pihak di peringkat kerajaan negeri.
Malah beliau sendiri tidak tahu menahu syarikat mana yang terlibat dalam pembelian itu. – NOOR ALLIA KASSIM


Salam Bahagia,
Walaupun bagaimana sekalipun kritikan yang dibuat oleh pihak BN kepada MB Selangor, Kami Warga Selangor tetap percaya kepada ketelusan kerajaan negeri selangor darul ehsan..